AM

MIMOS Junior Academy Semai Minat Stem Seawal Usia Di Tadika

21/02/2025 03:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Tadika MIMOS dijenamakan semula kepada MIMOS Junior Academy (MJA) dalam usaha menyemai minat terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) seawal usia di tadika, sejajar dengan aspirasi nasional bagi meningkatkan literasi bidang itu. 

Penjenamaan semula itu juga membawa penambahbaikan dengan mengadaptasi kurikulum baharu berasaskan STEM yang dirangka khusus bagi menyediakan pengalaman pembelajaran menyeluruh, dinamik dan inovatif kepada murid.

Majlis perasmian penjenamaan semula tadika itu disempurnakan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, di MIMOS Berhad, Bukit Jalil di sini hari ini.

Beliau turut meluangkan kira-kira 30 minit mendengar taklimat berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) di MJA sebelum melawat dan beramah mesra dengan kanak-kanak MJA. 

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah  juga menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara MIMOS Berhad dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan kerjasama MJA dengan Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak (NCDRC) UPSI dalam pelaksanaan kurikulum baharu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata bidang STEM antara tumpuan utama kementerian dan sebarang inisiatif mengintegrasikan pembelajaran STEM dalam pendidikan prasekolah disokong.

“Pendidikan STEM adalah komponen kritikal dalam membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa depan. Kita menggalakkan lebih ramai pelajar menceburi bidang ini bagi mengatasi jurang kemahiran yang wujud dan memastikan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya ketika berucap di majlis itu.

MOSTI dalam kenyataan media pula memaklumkan antara pendekatan pengajaran di MJA ialah pembelajaran berasaskan inkuiri bagi mengalakkan rasa ingin tahu melalui soalan dan eksperimen, selain pembelajaran berasaskan permainan untuk membangunkan kemahiran kognitif dan motor.

Selain itu, pembelajaran berasaskan projek, integrasi STEM, pembelajaran berasaskan pengalaman dan pembelajaran yang dipertingkatkan dengan teknologi. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan