AM

Syukuri Nikmat Kesihatan, Jadikan Ramadan Ubah Gaya Hidup Lebih Sihat - Sultan Pahang

13/03/2025 10:46 PM

CAMERON HIGHLANDS, 13 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah masyarakat perlu mensyukuri nikmat kesihatan dan menjadikan Ramadan sebagai bulan untuk berubah kepada gaya hidup lebih sihat.

Baginda bertitah kesihatan adalah mahkota di atas kepala individu sihat yang hanya mampu dilihat oleh mereka yang sedang sakit. 

“Saya meneliti dengan penuh kebimbangan akan keadaan kesihatan rakyat di negeri (Pahang) ini. Berdasarkan laporan terkini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang dan KKM (Kementerian Kesihatan), Pahang adalah negeri kelima tertinggi kadar kematian pramatang. 

“Kematian pramatang bermaksud mati sebelum mencapai umur 75 tahun iaitu purata jangka hayat rakyat Malaysia,” titah Al-Sultan Abdullah ketika berkenan merasmikan Surau Al-Amin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands dan berbuka puasa di Brinchang hari ini.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Dr Ramli Mohd Nor, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah pada tahun 2022 sahaja, sebanyak 5,206 kes kematian pramatang telah direkodkan di negeri Pahang dengan tiga punca utama kematian itu adalah serangan jantung, radang paru-paru dan strok. 

Baginda turut berkongsi penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi telah mengakar sebagai musuh dalam selimut yang perlahan-lahan meragut kesejahteraan masyarakat.

“Bagaimana mungkin kita memejamkan mata apabila kadar diabetes di Pahang meningkat daripada 11,976 kes pada 2020 kepada 34,819 kes pada 2024? Bagaimana mungkin kita membisu apabila jumlah pesakit tekanan darah tinggi melonjak kepada 72,625 kes dalam tempoh yang sama? 

“Semuanya berpunca daripada faktor pemakanan dan gaya hidup harian,” titah Al-Sultan Abdullah.

Justeru, baginda bertitah menyeru masyarakat supaya mengambil langkah yang lebih serius dalam menjaga kesihatan dan Ramadan adalah masa terbaik untuk memulakan perubahan ke arah gaya hidup sihat.

Al-Sultan Abdullah bertitah memberi nasihat antaranya supaya masyarakat berbuka dan bersahur dengan makanan yang sihat dan sederhana, bukan makanan yang berlebihan gula serta lemak dan memanfaatkan ibadah puasa sebagai proses detoksifikasi semula jadi tubuh, dengan membiarkan sistem pencernaan berehat dan memperbaikinya. 

“Lakukan ibadah dengan penuh disiplin dan istiqamah kerana solat dan tarawih bukan sahaja mendidik jiwa tetapi juga menggerakkan tubuh, membantu peredaran darah yang lebih baik.

“Berwaspada terhadap penyakit yang tidak menunjukkan gejala, lakukan pemeriksaan kesihatan berkala agar kita tidak terlewat dalam mengambil langkah pencegahan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah supaya masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih aktif dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan secara konsisten antaranya berjalan kaki, berbasikal atau berjoging.

Pada masa sama, baginda menyeru kerajaan negeri meneruskan dan memperbanyakkan lagi program kesihatan serta fizikal yang melibatkan seluruh rakyat di pelbagai lapisan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan