EKONOMI

Tesla Guna Komponen Pembekal Tempatan, Pindah Teknologi Kepada Syarikat Malaysia - MITI

21/11/2024 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Pengeluar kenderaan elektrik (EV) Amerika Syarikat, Tesla menggunakan komponen daripada kira-kira 45 pembekal tempatan secara langsung dan tidak langsung yang turut melibatkan pemindahan teknologi kepada pembekal tempatan.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara pengeluar tempatan utama yang digunakan adalah bagi komponen semikonduktor, pemeriksaan jentera dan sistem automasi kilang.

“Walaupun Tesla tidak pernah memberikan sebarang komitmen untuk membuat pemasangan tempatan bagi kenderaannya, MITI melalui agensinya Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa mengadakan perbincangan mengenai potensi bagi Tesla menggunakan rantaian bekalan tempatan bagi komponen keluarannya,” katanya.

MITI berkata demikian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini bagi menjawab pertanyaan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai pendirian dan strategi kerajaan susulan laporan pembatalan rancangan Tesla untuk membina kilang di rantau ini termasuk Malaysia.

Menurut kementerian, bertapaknya Tesla sebagai syarikat pengeluar EV utama dunia di Malaysia menunjukkan keyakinannya terhadap pasaran EV tempatan serta dasar galakan EV yang dilaksanakan kerajaan.

MITI berkata kerajaan akan terus menggiatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan dalam sektor automatif dan sektor lain yang berkaitan untuk menjalankan operasi di Malaysia.

“Langkah ini akan membantu meningkatkan keupayaan rantaian bekalan tempatan serta menggalakkan aktiviti lokalisasi komponen automotif,” katanya.

Menurut kementerian, kemasukan syarikat Tesla ke Malaysia pada 2023 adalah melalui program Lesen Import (AP) Peneraju Global Kenderaan Elektrik Berkuasa Bateri (BEV) yang diadakan khusus untuk menarik syarikat multinasional pengeluar utama BEV untuk membuka perniagaan dan melabur di Malaysia.

Beberapa syarat telah dikenakan kepada Tesla yang menyertai program berkenaan, melibatkan komitmen seperti memasang sekurang-kurangnya 50 pengecas EV segera dengan kapasiti melebihi 180 kilowatt dan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus pengecas EV yang dipasang boleh digunakan umum bagi EV jenama lain (selain Tesla), katanya.

MITI berkata selain itu, Tesla perlu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat pengecas tempatan untuk membangunkan teknologi pengecas.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan