IPOH, 19 Dis (Bernama) -- Kampung Orang Asli Sungai Tonggang di Hulu Kinta dekat sini dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan projek rintis kempen advokasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperkasa komuniti Orang Asli.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata projek perintis di kampung itu, yang akan berlangsung selama tiga bulan, melibatkan program kesedaran, keselamatan digital untuk murid dan pelajar antara tujuh hingga 17 tahun dengan enam sesi pembelajaran di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
“Tiga sesi taklimat juga disediakan untuk ibu bapa dan guru, saya mohon ditambah dengan beberapa program bersama dengan pempengaruh dimanfaatkan dengan lebih baik
“Selain itu, kita tegaskan dengan aspek-aspek pembangunan ekonomi, saya percaya produk-produk yang ada boleh diuar-uarkan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Program Advokasi bertema From Roots to Routes: Boosting Economic Development and Social Empowerment for Orang Asli Sungai Tonggang hari ini.
Fahmi berkata beliau menghargai usaha dan bantuan kesemua rakan strategik seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pos Malaysia, Sekretariat Wanita Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak dalam menyayakan program itu.
Beliau berkata murid dan pelajar pada masa ini yang berada di zaman digital diharap dapat memanfaatkan Internet dengan baik.
“Bukan semua yang kita tengok dalam Internet ini perlu kita tiru, ada yang boleh menjadi teladan, ada yang perlu menjadi batasan ataupun sempadan.
"Ada sesetengah benda wajar kita manfaatkan contohnya untuk belajar Matematik dan Sains, perkara-perkara macam ini manfaatkan, yang lain itu kurangkan,” katanya.
Sementara itu, dalam keghairahan menggunakan Internet yang kian berkelajuan pantas, Fahmi mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan ancaman jenayah siber.
“Internet laju, penjenayah pun lagi laju. Jadi untuk elak dari jadi mangsa scam, penipuan dalam talian dan jenayah lain, saya minta supaya MCMC segera dan sentiasa melakukan sesi taklimat serta penerangan.
“Kalau boleh, saya nak Tok Batin sentiasa mendapat kemas kini supaya boleh disampaikan kepada komuniti tentang cara scam yang terkini sebab apabila kita tutup satu laluan, dia dapat masuk ikut pintu lain. Apabila kita dah beritahu cara ini dia menipu, dia cuba cara lain,” katanya.
Fahmi turut melawat menara telekomunikasi di Kampung Orang Asli Sungai Tonggang di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang beroperasi sepenuhnya sejak Oktober lepas.
Menara setinggi 60 meter yang diserahkan kepada Syarikat Celcomdigi itu memanfaatkan kira-kira 1,000 penduduk.
Turut hadir Ketua Bahagian Infrastruktur Baharu Edotco Group Sdn Bhd Megat Mohammad Megat Omar dan Ketua Jabatan Pengurusan PPS, Hal Ehwal Korporat Celcomdigi Sdn Bhd Mohd Nizam Mohamad.
Sebelum ini, kampung itu menerima perkhidmatan Internet satelit Starlink yang dipasang di dewan orang ramai untuk memberikan perkhidmatan digital kepada penduduk di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial