EKONOMI

Institusi Tempatan Teruskan Belian Di Bursa Malaysia Bagi Minggu Kesembilan

23/12/2024 01:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Institusi tempatan terus menyokong Bursa Malaysia untuk minggu kesembilan berturut-turut dengan mencatat pembelian ekuiti bersih sebanyak RM1.05 bilion pada minggu lepas, demikian menurut MIDF Research.

Angka itu merupakan peningkatan daripada aliran masuk bersih sebanyak RM995.5 juta pada minggu sebelumnya.

Pada masa sama, kalangan pelabur asing meneruskan aktiviti jualan dengan aliran keluar bersih sebanyak RM1.07 bilion, kata cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd itu dalam laporan aliran dananya bagi minggu berakhir 20 Dis, 2024.

Sektor yang mencatat angka aliran masuk asing bersih tertinggi adalah hartanah (RM42.6 juta), teknologi (RM40.2 juta) dan perladangan (RM29.4 juta).

MIDF Research berkata sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM500.5 juta), penjagaan kesihatan (-RM168.9 juta) dan utiliti (-RM160.5 juta).

Bagi tempoh di bawah kajian, kalangan peruncit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih dengan belian bersih RM13.8 juta selepas mencatat jualan bersih selama empat minggu berturut-turut.

Purata nilai dagangan harian (ADTV) menunjukkan pertumbuhan yang merentasi semua kategori pelabur minggu lepas.

“Pelabur runcit tempatan dan asing mencatat peningkatan dua angka iaitu masing-masing sebanyak 10.2 peratus dan 20.9 peratus manakala pelabur institusi menyaksikan peningkatan lebih sederhana sebanyak 5.7 peratus,” katanya.

Di serata Asia, pelabur asing mengekalkan trend jualan bersih pada minggu lepas di lapan pasaran Asia yang ditinjau oleh MIDF Research dengan jumlah aliran keluar sebanyak US$4.70 billon iaitu 2.6 kali lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya (US$1=RM4.50).

Majoriti daripada aliran keluar itu bertumpu di Taiwan dan Korea Selatan.

Taiwan misalnya menyaksikan aliran keluar dana asing berjumlah US$2.24 bilion iaitu minggu kedua berturut-turut bagi jualan bersih selepas bank pusat mengekalkan kadar faedah pada 2.0 peratus dan menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi 2024 kepada 4.25 peratus daripada 3.82 peratus.

Selain itu, pelabur asing bertindak melakukan jualan bersih di Korea Selatan yang berjumlah US$1.61 bilion, perubahan mendadak daripada belian bersih sebanyak US$28.6 juta dalam minggu sebelumnya.

Ini susulan kenyataan pemimpin bank pusat negara itu bahawa impak ekonomi daripada kekalutan politik akibat pelaksanaan undang-undang tentera, adalah  terhad susulan undian Parlimen untuk mendakwa Presiden Yook Suk Yeol.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan