KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Semarak Renewable Energy Sdn Bhd (SeRenE) telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan penyedia perkhidmatan marin dan luar pesisir, Megamas Resources yang berpangkalan di Singapura untuk menubuhkan syarikat usaha sama baharu, Semarak MIS Sdn Bhd.
Semarak MIS akan menumpukan kepada pembangunan kapal tercanggih, cekap bahan api untuk pemasangan dan penyelenggaraan kabel tenaga boleh diperbaharui luar pesisir dan kabel telekomunikasi gentian optik dasar laut.
SeRenE berkata kerjasama itu bertujuan untuk menyokong sektor tenaga janaan angin luar pesisir yang semakin berkembang dengan mengurus kabel tenaga inter-array dan eksport yang penting untuk menyambungkan ladang angin luar pesisir kepada grid elektrik sambil meningkatkan infrastruktur telekomunikasi serantau memastikan ketersambungan mantap dan cekap di seluruh Asia Tenggara.
"Kerjasama ini dimuktamadkan menerusi MoA, bukan sahaja akan meningkatkan infrastruktur serantau tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menyumbang secara signifikan kepada ekonomi hijau Malaysia.
"Dengan menyelaraskan matlamat kemampanan global, perkongsian itu bersedia untuk memacu usaha pengurangan karbon dan mempercepatkan penggunaan tenaga bersih di seluruh Asia Tenggara," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Mengenai spesifikasi kapal, SeRenE berkata setiap kapal berukuran kira-kira 120 meter panjang dengan lebar 23 meter dan kapasiti muatan sebanyak 8,000 tan.
Direka bentuk dengan kerjasama Ulstein Design & Solutions dari Norway, kapal itu akan menggabungkan teknologi badan kapal termaju untuk meminimumkan pergerakan dan meningkatkan kecekapan operasi, walaupun dalam keadaan bergelora.
"Dilengkapi dengan sistem Dynamic Positioning Class 2, kapal ini akan mengekalkan ketepatan dan kestabilan tinggi dalam persekitaran luar pesisir termasuk perairan cetek sedalam 15 meter. Operasi dijangka bermula pada pertengahan 2027," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan SeRenE, Muhammad Shahil Ishak berkata perkongsian itu menghimpunkan kepakaran dalam tenaga boleh baharu dan infrastruktur dasar laut, mempercepatkan penyelesaian tenaga luar pesisir dan menyumbang kepada masa depan yang lebih bersih dan hijau untuk Asia Tenggara.
Ketua pegawai eksekutif Megamas Resources, Kapten Tiew Sien Kheng berkata kerjasama itu akan membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian tenaga mampan, memastikan kesan positif terhadap alam sekitar dan ekonomi serantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial