EKONOMI

Eksport MSM Kekal Penting Bantu Malaysia Terus Kuasai Syer Pasaran - KPK

11/08/2025 11:56 PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Bernama) -- Eksport minyak sawit mentah (MSM) negara masih memainkan peranan penting kepada industri sawit kerana ia memastikan Malaysia tidak kehilangan syer pasaran kepada pesaing terdekat negara, iaitu Indonesia.  

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata ia juga penting khususnya bagi pasaran sedia ada seperti India, Kenya dan Belanda yang merupakan pengimport utama MSM dari negara ini. 

“Eksport ke pasaran ini bukan sahaja menyumbang kepada pendapatan negara malah ianya strategik,” katanya dalam Jawapan Bagi Pertanyaan Jawab Lisan yang dipaparkan di portal Dewan Rakyat hari ini.

KPK berkata Malaysia mengeksport minyak sawit yang diproses (Processed Palm Oil-PPO) dan produk berasaskan sawit dalam kuantiti yang jauh lebih tinggi berbanding MSM.

“Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia pada tahun 2024 adalah sebanyak 15.39 juta tan metrik. 

“Daripada jumlah ini, eksport MSM hanyalah sebanyak 3.69 juta tan metrik dengan nilai RM15.09 bilion, manakala eksport minyak sawit diproses pula adalah sebanyak 11.69 juta tan metrik dengan nilai RM50.73 bilion,” katanya.

KPK berkata ini bermakna hanya 24 peratus eksport minyak sawit Malaysia adalah MSM berbanding PPO.

“Selain itu, jumlah eksport bagi produk berasaskan sawit pula adalah sebanyak 14.80 juta tan metrik dengan nilai RM53.44 bilion, berbanding tahun 2023 iaitu 11.98 juta tan metrik dengan nilai RM46.3 billion.

“Jumlah ini menunjukkan bahawa prestasi eksport untuk produk hiliran sawit yang bernilai tambah kian berkembang sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada eksport MSM,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan