AM

Tiada anggota kesihatan dijangkiti COVID-19 semasa rawat pesakit - KKM

08/04/2020 09:32 PM

PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa sehingga kini, tidak ada anggotanya yang dijangkiti COVID-19 ketika berkhidmat di wad atau unit rawatan rapi (ICU) hospital rawatan COVID-19. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana anggota kesihatan KKM mengamalkan langkah pencegahan dan memakai alat pelindung diri (PPE) semasa menjalankan tugas.

“Apabila kita lihat barisan hadapan KKM yang dijangkiti, 181 orang dan dua kematian, yang mana kematian yang direkodkan ini mempunyai sejarah perjalanan ke Turki serta Indonesia dan tidak berkaitan dengan jangkitan semasa bekerja. 

“Daripada jumlah 181 itu, 67 peratus iaitu 122 dijangkiti di luar kawasan hospital, contohnya menghadiri majlis perkahwinan dan sebagainya kemudian mereka datang ke hospital sehingga ada yang menjangkiti rakan-rakan mereka,” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Dr Noor Hisham berkata demikian bagi menjawab dakwaan seorang doktor hospital swasta bahawa KKM gagal melindungi barisan hadapan perubatan sehingga menyaksikan kira-kira 30 kakitangan perubatan dilaporkan dijangkiti virus itu ketika bertugas.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata jangkitan melibatkan petugas kesihatan bermula di hospital swasta dan susulan itu, KKM mengadakan dua mesyuarat bersama hospital serta klinik swasta pada 1 dan 12 Mac untuk meningkatkan langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan. 

Bagaimanapun, hasil siasatan menunjukkan bahawa sejumlah 36 petugas kesihatan mendapat jangkitan COVID-19 daripada pesakit yang tidak memaklumkan perkara sebenar mengenai hubungan rapat mereka dengan individu yang berisiko tinggi. 

Selain itu, sebagai langkah pencegahan, KKM telah menyaring lebih 2,000 petugas kesihatan termasuk di fasiliti swasta secara berkala.

“Jadi, kita tak tunggu sama ada mereka dapat gejala dulu baru kita nak saring sebaliknya kita saring semua secara berjadual dan lebih 2,000 kita dah saring,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan