PETALING JAYA, 9 Feb (Bernama) -- Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyasarkan untuk membantu sebanyak 200 keluarga fakir, miskin dan asnaf di negara ini, menerusi program Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang akan dilaksanakan pada Ramadan ini.
Pengerusi program Datin Dr Hartini Osman berkata sasaran itu, meningkat berbanding tahun lepas dengan sebanyak 156 keluarga telah berjaya dibantu.
Beliau berkata setiap keluarga yang terpilih akan menerima bantuan sekali beri wang tunai berjumlah RM600, bagi menampung perbelanjaan untuk berbuka dan bersahur pada Ramadan yang dijadual disambut umat Islam, bulan hadapan.
“Setiap maklumat atau data bagi keluarga yang dipilih ini diperoleh dari pihak sekolah, ketua komuniti dan organisasi bukan kerajaan (NGO). Setiap satu (maklumat atau data) yang diterima akan diteliti dahulu kelayakan, sebelum tersenarai menerima bantuan ini,
“Tahun ini, (mereka) yang memohon lebih daripada 1,000 keluarga yang kita akan tapis dan jika ada lebihan (wang bantuan), kita boleh bantu lebih daripada 200 keluarga,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program SKR di sini hari ini.
Hartini berkata setakat ini, sebanyak 3,927 keluarga telah menerima manfaat menerusi program itu, yang memasuki kali ke-16 penganjurannya sejak dilaksanakan pada 2008.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai individu, NGO dan badan korporat tampil menderma bagi membantu meringankan beban golongan kurang berkemampuan semasa Ramadan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial