AM

Malaysia terima sumbangan 415,000 dos vaksin AstraZeneca dari UK

03/08/2021 06:14 PM

SEPANG, 3 Ogos -- Malaysia hari ini menerima 415,000 dos vaksin COVID-19 AstraZeneca sumbangan kerajaan United Kingdom (UK), yang akan meningkatkan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Bekalan vaksin itu dihantar melalui penerbangan Emirates Airlines EK 346 yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 2.20 petang.

Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin, Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Charles Hay hadir untuk menyambut ketibaan vaksin itu.

Bekalan vaksin itu adalah sumbangan keempat negara luar kepada Malaysia. Sebelum ini, Jepun telah menyumbangkan 998,400 dos vaksin AstraZeneca, Amerika Syarikat memberikan 1,000,350 dos vaksin Pfizer dan China dengan 500,000 dos vaksin Sinovac.

Khairy yang menyatakan penghargaan atas sumbangan UK itu dalam sidang media bersama Hay berkata: “Sumbangan ini akan mempercepatkan vaksinasi di Malaysia. Pada masa ini, kami mempunyai kadar vaksinasi harian per kapita tertinggi di dunia yang melebihi negara lain”.

Pada masa ini katanya, kira-kira 62 peratus penduduk dewasa telah menerima suntikan dos pertama manakala 31 peratus lagi telah melengkapkan dua dos vaksin.

Khairy berkata vaksin AstraZeneca yang diterima hari ini adalah untuk penerima dos pertama dan akan dihantar ke negeri-negeri.

“Kita juga dijadualkan untuk terima kira-kira 500,000 lagi dos vaksin AstraZeneca pada hujung bulan ini untuk kegunaan dos kedua," katanya.

Sementara itu, Hay berharap sumbangan vaksin itu akan melonjakkan pelaksanaan vaksinasi dan melindungi lebih banyak nyawa daripada virus COVID-19.

“Hubungan UK dengan Malaysia bagaikan aur dengan tebing. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Semoga sumbangan vaksin dari Britain dapat membantu meningkatkan lagi kadar vaksinasi di Malaysia, supaya lebih ramai dapat dilindungi daripada ancaman COVID-19,” kata Hay yang boleh berbahasa Melayu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan