Oleh Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
KUALA TERENGGANU, 26 Mac -- Demi memastikan dirinya dilindungi dari jangkitan COVID-19, seorang jurutera sanggup memakai pakaian perlindungan diri yang dibuatnya sendiri daripada beg plastik sampah, ketika mengunjungi sebuah pasar raya, di sini.
Bagi melengkapkan set pakaian keselamatannya itu, Zamakhyari Khairiri, 41, turut memakai topeng muka, bercermin mata ‘goggle ski’ dan berkasut ‘but’ getah.
Bapa kepada tiga anak yang tinggal di Kampung Bukit Payong itu berkata, walaupun ada yang memandang pelik apabila melihat penampilannya, namun beliau tidak mengambil kisah mengenainya, asalkan beliau berasa selamat berada di tempat awam.
“Saya tidak kisah dengan keadaan ini, malahan merasa bangga kerana ia boleh menjadi satu cara berkempen, bagi mengingatkan orang awam akan langkah yang perlu dilakukan bagi membendung virus ini.
“Tempat seperti ini (pasar raya) mempunyai potensi yang tinggi untuk terkena jangkitan virus itu (COVID-19), dan ini adalah ikhtiar kecil yang saya lakukan demi menjaga keselamatan keluarga dan orang sekeliling daripada virus itu,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.
Beliau mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memakai semua kelengkapan itu dengan dibantu anak-anaknya.
Zamakhyari menambah hari ini merupakan kali pertama beliau keluar dari rumah, untuk membeli barangan makanan dan keperluan keluarganya, setelah lapan hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Sementara itu tinjauan Bernama di beberapa pasar raya di Kuala Terengganu mendapati orang ramai yang keluar membeli barangan makanan dan keperluan keluarga, tetap mematuhi arahan keselamatan seperti jarakan sosial dan memakai penutup mulut dan hidung.
Selain itu beberapa bank dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bandar raya turut menjadi tumpuan, memandangkan penjawat awam menerima gaji semalam.
Pihak bank dan pasar raya juga dilihat menyediakan pencuci tangan pembasmi kuman di pintu masuk dan pintu keluar premis mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Bernama pada Rabu berkata pihak polis turut membuat kawalan di setiap premis bank bagi memastikan orang ramai mematuhi langkah penjegahan penularan jangkitan COVID-19.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial