BUKIT MERTAJAM, 4 Mei -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang menjalin kerjasama dengan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) MSI Cawangan Kulim untuk menghasilkan alat peranti penjarakan sosial yang dikenali sebagai 'Social Distancing Sensor' (SDS).
Ketua projek merangkap pensyarah kanan Jabatan Pengurusan Perniagaan UiTM Cawangan Pulau Pinang Mohd Subri Tahir berkata SDS adalah penambahbaikan produk inovasi yang dinamakan 'Object Distance Detection System' (ODDS) yang dapat mengesan jarak dengan kiraan dari satu sentimeter (cm) hingga 10,000 cm.
ODDS telah dibentangkan di Seoul Invention International Fair 2019 (SIIF2019) di Seoul, Korea Selatan pada November 2019 dan berjaya merangkul pingat gangsa.
"ODDS tidak dapat kesan manusia atau objek kerana ianya direka untuk penggunaan kereta bagi mengelakkan geseran semasa memakirkan kereta. Jadi untuk SDS, kita mereka semula (ODDS) dengan menggunakan idea yang lebih kurang sama tetapi fungsi pengesanan yang hanya mengesan manusia dalam jarak satu meter.
"Individu boleh menggantung alat berkenaan di leher. Jarak sebenar akan dipaparkan pada permukaan hadapan SDS dan sistem penggera SDS akan mengeluarkan pancaran laser ke badan individu yang berada di hadapan sekiranya individu itu berada dalam jarak kurang dari satu meter. Pengguna SDS akan mengetahui beliau perlu menjarakkan dirinya sehingga pancaran laser terpadam," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Mohd Subri berkata penggunaan kaedah manual iaitu menampal pita pelekat pada lantai mengikut ukuran satu meter dilihat sebagai kurang cekap dari sudut pematuhan serta pemantauan keberadaan seseorang individu dan ciptaan alat peranti berkenaan bertujuan menambah baik kaedah manual sedia ada.
Beliau berkata prototaip pertama SDS berjaya dihasilkan dalam masa satu minggu dan syarikat atau institusi yang ingin membuat tempahan alat peranti itu boleh berbuat demikian melalui e-mel mohdsubri@uitm.edu.my atau hubungi 012-4544031.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial