KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Johor Datuk Azmi Rohani dan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah menerima Anugerah Tokoh Generasi 2020 sempena sambutan Hari Peneroka Felda 2021 hari ini.
Menurut pengumuman dalam sambutan itu yang disiar secara langsung menerusi stesen televisyen, Azmi, yang merupakan anak peneroka Felda Sayong, Wilayah Johor Bahru dan Hasagaya, anak peneroka Felda Medoi, Wilayah Segamat masing-masing menerima RM1,000, sijil dan plak.
Felda Kerteh 2, Wilayah Terengganu menerima wang tunai RM500,000 selepas dinobatkan johan Anugerah Kecemerlangan Kampung Felda (AKRF).
Felda Tersang 3, Wilayah Mempaga pula diumum naib johan kategori itu dan menerima RM300,000 manakala tempat ketiga Felda Jengka 25, Wilayah Jengka membawa pulang RM200,000.
Sementara itu, Felda menerusi kenyataan memaklumkan AKRF yang dinaik taraf daripada Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF), dianjurkan sebagai satu inisiatif pemerkasaan komuniti rancangan dengan skop penilaian mencakupi sumber ekonomi, keceriaan rancangan, pencapaian badan-badan rancangan, pendidikan serta infrastruktur.
Selain itu, buat julung kalinya, Anugerah Tokoh Belia, Tokoh Beliawanis, Tokoh Generasi Lelaki dan Tokoh Generasi Perempuan diperkenalkan dalam sambutan tahun ini bagi meraikan kejayaan dan pencapaian individu-individu yang telah memberi sumbangan besar kepada komuniti Felda, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial