AM

UMP, ASSB tandatangani MOU tingkat kerjasama akademik, penyelidikan

19/05/2022 09:33 PM

KUANTAN, 19 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Pahang (UMP) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) bagi meningkatkan kerjasama akademik dan penyelidikan dengan pelabur pertama Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) itu.

Pada majlis yang berlangsung di ASSB di sini, UMP diwakili Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin manakala syarikat berkenaan diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Teknologinya Hu Jiulin. 

Majlis turut disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UMP Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing. 

Berdasarkan MoU itu, UMP dan ASSB bersetuju membangunkan tapak pengajaran Confucius Institute (CI) di ASSB, iaitu institut bahasa Mandarin yang dilaksanakan dengan kerjasama Hebei Universiti, yang melibatkan penyertaan guru dan pensyarah daripada universiti di China itu. 

Abdul Aziz berkata CI UMP akan menawarkan kursus teknikal Bahasa Mandarin untuk kakitangan tempatan ASSB yang antara lain bertujuan meningkatkan kemahiran komunikasi antara pekerja Malaysia dan China. 

"Kursus teknikal ini merupakan kursus bahasa Mandarin yang spesifik berkaitan industri besi keluli (yang merupakan produk utama ASSB). Tapak pengajaran CI UMP di sini akan melatih 5,000 staf tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya. 

Selain kerjasama akademik, Abdul Aziz berkata kedua-dua pihak juga akan menggiatkan kerjasama dalam aspek latihan kakitangan, latihan industri pelajar dan dalam bidang penyelidikan. 

Sementara itu, Hu Jiulin dalam kenyataan kepada media menyifatkan kerjasama itu meningkatkan kolaborasi pihak industri dengan universiti, selain membantu pemindahan teknologi dan pemnbangunan industri dalam tempoh jangka panjang. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan