KUANTAN, 6 Ogos (Bernama) -- Kejayaan ibu bapa dalam bidang masing-masing menjadi pembakar semangat buat penerima Hadiah dan Anugerah Kecemerlangan pada Majlis Konvokesyen Ke-16 Universiti Malaysia Pahang (UMP), untuk belajar dengan tekun.
Usaha itu ternyata berbaloi apabila Hussein Al-Faiz Mohamed Ahmed Hafez, 26, akan menerima Anugerah Kecemerlangan UMW Holdings Bhd dan Hadiah Kecemerlangan Program Dual Ijazah - Verein Deutscher Ingeniure Award (Anugerah Tajaan Persatuan Jurutera Jerman) yang disampaikan oleh Pro Cancelor UMP Tan Sri Dr Abi Musa Asaari Mohamed Nor hari ini.
Anak sulung kepada pasangan Prof Mohamed Ahmed Hafez yang merupakan pensyarah di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta dan Dr Sham Awab seorang doktor pergigian itu berkata ibu bapanya telah menjadi contoh terbaik untuknya mencipta kejayaan.
Berkongsi cerita, anak jati Kuala Lumpur itu berkata kedua-dua orang tuanya turut meletakkan harapan yang tinggi supaya beliau dapat menunjukkan teladan yang baik kepada dua lagi adiknya.
"Mereka memang idola saya, bapa berasal daripada keluarga susah di Mesir dan berhijrah ke sini untuk menuntut ilmu bagi mengubah nasib keluarga sebelum bertemu ibu saya dan mendirikan rumah tangga.
"Bapa juga berlatarbelakangkan bidang kejuruteraan cuma saya lain sikit iaitu bidang automotif dan ibu seorang doktor gigi...kini sudah sampai masanya untuk membalas budi mereka yang selama ini banyak berkorban masa, tenaga dan wang membesarkan saya," katanya pada sidang media Sempena Memperkenalkan Penerima Anugerah Majlis Konvokesyen Ke-16 UMP, di sini, semalam.
Graduan bagi Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Automotif itu turut berkongsi cabaran semasa mengikuti pengajian selama setahun di University of Applied Sciences, Jerman dua tahun lepas ketika situasi COVID-19 amat membimbangkan.
"Ketika sekatan pergerakan semua kelas dijalankan secara dalam talian dan saya perlu rekod apa yang diajar pensyarah dalam bahasa Jerman kemudian terjemahkan supaya saya faham apa yang disampaikan dan ia sangat mengambil masa," katanya yang sedang menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Tenaga Nasional.
Sepanjang Menuntut di UMP, beliau sering memenangi pertandingan robotik antaranya tempat pertama UTHM-Fraunhofer Corporate Makeathon 2019 (peringkat kebangsaan) dan 10 teratas Solidworks Skills Competition 2019 For East Coast Region.
Selain itu, Hussein Al-Faiz turut memaklumkan beliau sedang memulakan perniagaan bersama rakannya menerusi program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dengan menubuhkan GREST Engineering and Consultancy Services di Pekan, Pahang.
Sementara itu, Naib Canselor UMP Profesor Datuk Dr Yuserrie Zainuddin memaklumkan seramai 4,082 individu bakal menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang akan berlangsung selama empat hari bermula hari ini di Dewan Kompleks Sukan UMP Gambang, di sini.
Beliau berkata daripada jumlah tersebut, 280 individu akan menerima ijazah doktor falsafah dan sarjana, manakala sarjana muda melibatkan 2,235 individu selain diploma dan UMP Advanced masing-masing 506 dan 1,061 individu.
Katanya, sejak majlis konvokesyen yang pertama pada 2006, UMP telah melahirkan seramai 34,905 graduan dalam pelbagai lapangan pengajian sama ada peringkat prasiswazah mahupun pascasiswazah dengan kebolehpasaran graduan UMP berjaya melepasi lebih 90 peratus mendapat pekerjaan setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial