AM

Edotco dan GPM lancar projek LIFE bantu pelihara ekosistem

17/10/2021 05:04 PM

TANJONG KARANG, 17 Okt -- Edotco Malaysia (edotco) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia melancarkan projek ‘Love Initiative for Earth’ (LIFE) bagi membantu memulihara ekosistem semula jadi dan memupuk kelestarian alam sekitar.

Pengarah Urusan edotco Malaysia Wan Zainal Adileen berkata projek tersebut merangkumi lima negeri di Malaysia yang menyasarkan pengumpulan sebanyak 50 tan bahan kitar semula, sekali gus melestarikan kawasan sekitarnya.

“Pada hari pertama projek LIFE di Selangor, sebanyak 120 bungkusan sampah yang boleh dikitar semula berjaya dikumpulkan oleh penduduk Kampung Sungai Kajang di Tanjung Karang dan 20 pokok bucida (pokok doa) ditanam di satu lokasi kilang memproses gula sawit terawal di negara ini,” katanya pada majlis pelancaran projek LIFE, di sini hari ini.

Wan Zainal berkata projek itu bermula dengan fasa kesedaran iaitu masyarakat setempat dididik mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar, sebelum ke fasa kedua iaitu penglibatan mereka dalam program pertukaran bahan kitar semula kepada makanan sebagai penghargaan terhadap usaha tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata sumbangan sebanyak 20 kotak makanan turut diagihkan kepada keluarga asnaf yang bersama menyokong dan menjayakan projek LIFE.

“Seusai di Selangor, projek ini akan dijalankan di Sabah pada 22 Okt 2021. Projek ini juga akan merangkumi kawasan di Perak, Pahang dan Melaka,” katanya.

Ditubuhkan pada 2012, edotco Group merupakan syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi serantau dan bersepadu pertama di Asia yang menyediakan penyelesaian menyeluruh dalam sektor perkhidmatan menara iaitu daripada penyewaan, lokasi, pembangunan sesuai, tenaga, transmisi dan operasi sehingga penyelenggaraan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan