BERITA TERGEMPAR   PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | 
 AM

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih atas kerja keras pekerja wanita terutama barisan hadapan

25/08/2021 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Ogos -- Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik COVID-19.

Tunku Azizah bertitah petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak COVID-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak COVID-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus COVID-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). 

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak COVID-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan  mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini. 

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah COVID-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak. 

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak COVID-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad COVID-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam pada itu, semasa sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus COVID-19 di negara ini.

Katanya angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka. 

“Individu yang meninggal dunia akibat COVID-19 adalah mereka yang ambil vaksin tidak lengkap, dua orang telah meninggal dunia. Ini bermakna individu yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak mengambil vaksin.

“Ini kadang kala bukan kerana mereka tidak mahu divaksin sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin COVID-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan