AM

6 Dis Pengurusan Kes Bunuh Mangsa Buli T. Nhaveen

28/09/2017 04:18 PM
GEORGE TOWN, 28 Sept (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 6 Dis depan untuk pengurusan kes empat remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh mangsa buli T. Nhaveen.



Timbalan Pendaftar Nurfadrina Zulkhairi menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Syafiq Mohd Sazali memaklumkan mahkamah pihaknya belum  menerima laporan bedah siasat mangsa.



Pada prosiding hari ini, ibu Nhaveen turut hadir di mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes bunuh anak lelakinya yang berumur 18 tahun itu .



Pada 19 Jun lepas, empat remaja termasuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan membunuh Nhaveen.



J.Ragesuthen, 18, dan S.Gokulan, 18, serta dua lagi remaja lelaki  didakwa  melakukan perbuatan itu secara bersama di antara 11 malam hingga 12 tengah malam berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Gelugor dekat sini pada 9 Jun lepas.



Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.



-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan