KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) – Seorang penuntut Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Zulfarhan Osman Zulkarnain bahawa dia memilih untuk menulis surat layang berbanding bersemuka dengan pihak atasan untuk memberitahu mangsa didera kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti mangsa.
Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, 22, penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Awam UPNM berkata surat layang itu juga bagi memastikan identitinya tidak terbongkar.
“Saya takut identiti diketahui,” katanya ketika pemeriksaan semula Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-13, kes itu hari ini.
Kepada soalan Othman apakah yang ditakuti tertuduh sekiranya identitinya sebagai pengadu terdedah, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, “Saya mungkin akan kena sama macam arwah Zulfarhan”.
Menjawab soalan adakah tindakan menghantar surat layang kepada pihak atasan itu mencukupi untuk membantu Zulfarhan Osman, Muhammad Aiman Aufa menjawab “tidak”.
“Jika saya tahu dia akan meninggal dunia, saya akan bawa dia ke hospital,” katanya.
Pada prosiding sebelum ini, Muhammad Aiman Aufa mendedahkan bahawa dia telah menulis dua pucuk surat layang untuk memberitahu pihak atasan UPNM yang Zulfarhan Osman telah didera oleh rakan-rakannya selepas melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.
Katanya surat layang pertama diselit di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) pada 23 Mei 2017 dan surat layang kedua diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya.
Enam penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman, 22, di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi dan 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Pertuduhan terhadap mereka, yang kesemuanya berusia 22 tahun, dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mereka bersama 13 lagi penuntut lain turut didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 27 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial