AM

CIPTA PALANG AUTOMATIK , JAMBATAN HIDRAULIK JULANG DUA SEKOLAH JUARA OLIMPIAD KEBANGSAAN 2018

06/09/2018 05:41 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu, Terengganu dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Tun Abdul Razak, Pekan, Pahang dinobat sebagai juara Pertandingan Olimpiad Standard Kebangsaan 2018, masing-masing bagi kategori menengah atas dan rendah.  

Dua pasukan itu terpilih selepas berjaya membangunkan prototaip serta portfolio yang dikehendaki dalam tempoh singkat, iaitu palang automatik serta jambatan sistem hidraulik dengan hanya menggunakan bahan yang disediakan dan berdasarkan ilmu pengetahuan mereka. 

Kedua-dua pasukan yang menang juga berpeluang menyertai International Standards Olympiad yang dianjurkan oleh Korean Agency for Technology and Standards (KATS) di Korea Selatan pada Ogos tahun depan. 

Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu diwakili Ahmad Ezham Eskandar Ezani, 16, Aiman Hafizi Ridzuan, 16 dan Muhammad Asraf Mohd Harofi, 16, manakala SBP Integrasi Tun Abdul Razak diwakili Farhah Batrisyia Abdul Rahim, 15, Nur Amalina Diyana Azman, 15 dan Nur Insyirah Zulkafli, 15.

Ahmad Ezham Eskandar berkata pertandingan tersebut telah membuka minda beliau tentang standard yang diguna pakai di negara ini dan menguji kreativiti pelajar dalam menghasilkan sesuatu yang boleh diguna pakai dan berkualiti.

“Selama tiga hari kami dibekalkan dengan pembelajaran mengenai kualiti standard di Malaysia termasuk barangan yang disahkan SIRIM (Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia). Kami juga diberi tugasan yang menguji minda sehingga berjaya mencipta sesuatu yang mencapai standard,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu Nur Amalina Diyana berkata pertandingan itu memberi peluang kepadanya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan mengenai standard kepada guru dan rakan di sekolah. 

“Di sekolah kami pertandingan inovasi ini sering dilakukan dan mungkin selepas ini kami boleh memberi tips kepada rakan-rakan bagaimana untuk menghasilkan inovasi yang mencapai standard,” katanya. 

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia Datuk Fadilah Baharin ketika ditemui Bernama berkata pertandingan tiga hari bermula 4 Sept itu merupakan kali kedua diadakan selepas pelaksanaan program pertama pada 2013 di Trolak, Perak.  

”Melalui pertandingan ini pelajar diuji mengenai konsep standardisasi dan bagaimana teori-teori ini dapat diaplikasi di dalam penyelesaian masalah harian serta diuji secara teknikal untuk mencipta prototaip bagi menguji pengetahuan mereka,” katanya.  

Pertandingan itu menghimpunkan 15 pasukan dari 12 buah sekolah menengah di seluruh negara yang dipilih berdasarkan kedudukan 10 sekolah terbaik bagi kedua-dua kategori menengah rendah dan menengah atas di dalam pertandingan menulis esei mengenai standardisasi yang telah dianjurkan oleh Standards Malaysia. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan