SUKAN

Mohammad Adi bantu Brunei raih pingat perak di gelanggang wushu

12/09/2018 03:12 PM

GOPENG, 12 Sept (Bernama) – Atlet wushu, Mohammad Adi Salihin menceriakan kontinjen Brunei dengan meraih pingat pertama kilauan perak dalam kategori Nanquan lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak di Kolej Matrikulasi Perak di sini.

Mohammad Adi berusia 18 tahun itu tewas tipis 0.04 mata kepada pemenang pingat emas yang diraih oleh atlet Negeri Sembilan Calvin Lee Wai Leong dengan punggutan 9.54 mata manakala pingat gangsa dimenangi oleh atlet Pulau Pinang Chuah Shangyang dengan 9.48 mata.

Mohammad Adi berkata pengalaman beraksi di Sukan Asia Indonesia 2018 memberikan beliau keyakinan untuk menampilkan persembahan terbaik hari ini walaupun mengakui masih melakukan kesilapan dalam beberapa pergerakkan ketika final itu.

“Saya meminati wushu sejak kecil, dua abang saya merupakan atlet kebangsaan Brunei, saya mengikut jejak mereka. Kepuasan yang saya dapat dalam wushu ini apabila  dapat  mempersembahkan  pergerakkan yang mantap dan kemas terutamanya dari aspek lompatan.

“Saya tidak fikir untuk meraih pingat tetapi hanya mahu menikmati setiap persembahan saya. Selain itu juga saya dapat belajar teknik-teknik baru daripada pesaing di Malaysia,” katanya kepada Bernama.  

Mohammad Adi sudah berkecimpung dalam sukan wushu sejak 10 tahun lalu membuat penampilan kedua di SUKMA turut berharap dapat mempertahankan pingat perak kategori Nandao yang akan berlangsung hari ini. 

Beliau turut berasa gembira dapat menyumbang pingat pertama buat negaranya dan berharap atlet-atlet lain dapat mempamerkan persembahan cemerlang di sini.

Sementara itu atlet cilik daripada Kelantan, Nor Azira Kamarudzaman turut mencuri tumpuan apabila meraih pingat perak untuk kontinjen Kelantan bagi acara Nanquan wanita pada penampilan pertamanya di SUKMA kali ini.

Nor Azira berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan wushu sejak berusia enam tahun itu tidak menyangka dapat meraih pingat kerana mengakui saingan-saingan daripada atlet kebangsaan lebih berpengalaman.

“Saya tidak memikirkan untuk meraih pingat tetapi mendapat pengalaman di sini, sebelum ini setiap kali sesi pemilihan saya gagal, jadi apabila diberi peluang saya mahu berikan yang terbaik,” kata atlet yang bercita-cita menjadi polis.

Nor Azira berusia 13 tahun itu berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk berkomunikasi dengan atlet wushu yang berbangsa Cina yang lain kerana beliau mahir berbahasa mandarin.

Nor Azira mengumpul 9.25 mata tewas kepada pemenang pingat emas Tan Cheong Min dari Melaka dengan 9.56 mata dan Lee Hui Xian dari Sarawak meraih pingat gangsa dengan 9.05 mata. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan