KOTA BHARU, 15 Okt (Bernama) -- Penyelenggaraan bangunan di sekolah antara aspek yang perlu menjadi tumpuan kerajaan Persekutuan pada Bajet 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 2 Nov ini.
Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Cawangan Kelantan Johari Ahmed berkata selain itu peruntukan kepada aktiviti sukan, fasiliti komputer dan rangkaian jalur lebar di sekolah perlu ditambah baik.
“Perkara tersebut perlu diberi perhatian khusus bagi meningkatkan mutu pendidikan negara dan ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sektor berkenaan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Johari berkata bagi pembangunan modal insan pula, pelbagai kursus berkaitan pendidikan perlu ditawarkan kepada guru dan pegawai pendidikan sama ada di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Pejabat Pendidikan Daerah.
“Ia sebagai persediaan kepada kepada pendidik untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dinamik dalam usaha mendidik golongan pelajar.
“NUTP Kelantan juga berharap bajet kali ini turut memberi tumpuan terhadap Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan pelajar berkualiti dalam bidang berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, Johari mengharapkan agar kerajaan dalam masa yang sama tidak melupakan golongan pelajar miskin yang sering tercicir daripada persekolahan kerana kekangan kewangan.
"Kita tidak nafikan masih ada pelajar yang tercicir pendidikan oleh kerana desakan hidup, ada yang terpaksa bergilir-gilir pergi sekolah dan ada mereka yang tidak boleh ke sekolah kerana kemiskinan.
“Ia menyebabkan ramai daripada mereka memilih untuk berhenti sekolah dan bekerja. Kerajaan perlu mengadakan satu program baharu bagi membantu golongan tersebut selain baik pulih program serta perancangan sedia ada," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial