KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum tidak akan memberi kesan kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.
Menteri yang bertanggungjawab mengenai perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial itu berkata langkah kearah ratifikasi ICERD dengan tujuan menjadikan rekod hak asasi manusia negara dihormati dunia, adalah selaras dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.
Dalam satu kenyataan hari ini beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan berbincang dengan semua pemegang taruh bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai usaha meratifikasi ICERD.
"Kerajaan tidak tergesa-gesa untuk meratifikasi ICERD kerana ia mahu mendapatkan sebanyak mungkin maklum balas daripada semua pihak terlebih dahulu,” katanya dalam menafikan spekulasi bahawa langkah meratifikasi konvensyen itu bertujuan mencabar Artikel 153.
Artikel itu antaranya menyentuh kepada hak istimewa kaum Melayu dan Bumiputera dan kepentingan sah lain-lain komuniti.
"Dalam konteks di sini, kita boleh meratifikasi ICERD dengan beberapa reservasi. Kita boleh berbuat demikian sama ada dengan penerimaan terus atau ratifikasi, ada dua pilihan. Kita boleh pilih apa yang kita mahu. Dalam apa jua pilihan yang kita ambil, ia boleh dilakukan dengan beberapa reservasi,” kata Waytha Moorty.
"Selaras dengan komitmen kami terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dalam meningkatkan lagi hak asasi manusia, adalah dinasihatkan supaya ia diratifikasi, tetapi dengan beberapa reservasi, dan memastikan Perlembagaan Persekutuan terus dijunjung dengan niat asal penggubalnya terpelihara,” jelasnya.
Beliau berkata “kebimbangan tidak berasas” mengakibatkan ramai yang membuat spekulasi kesan kepada ratifikasi ICERD
Beliau turut memberi jaminan bahawa institusi seperti MARA, dan lain-lain agensi yang ditubuhkan bagi tujuan meningkatkan taraf hidup komuniti bumiputera yang memerlukan, tidak akan terjejas dengan langkah meratifikasi ICERD.
"Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk memelihara semua peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan mempertahankan agenda Bimiputera dan melindungi hak kaum Melayu sebagaimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Waytha Moorthy pada 24 Okt berkata kerajaan komited untuk meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama 2019.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial