EKONOMI

Pertumbuhan serantau berhadapan dengan ancaman perlindungan dan perang perdagangan

14/11/2018 04:37 PM

​​​​​KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) - Pakar-pakar polisi serantau berpendapat pertumbuhan dalam Asia Pasifik berhadapan dengan risiko yang paling utama iaitu dasar perlindungan dan perang perdagangan, kata Majlis Kerjasama Ekonomi Pasifik (PECC).

Kesimpulan itu telah didedahkan dalam Laporan Serantau Tahunan ke-13 PECC 2018-2019 yang dikeluarkan hari ini berdasarkan kepada kaji selidik yang dibuat ke atas 529 pakar polisi mengenai pembangunan dan cabaran di rantau ini.

Menurut PECC, 62.1 peratus responden menyatakan peningkatan dalam dasar perlindungan dan perang perdagangan menjadi cabaran paling utama kepada pertumbuhan Asia-Pasifik pada masa hadapan.

"Ini diikuti dengan kemungkinan penurunan dalam pertumbuhan perdagangan dunia (43.9 peratus) dan ekonomi China (43.3 peratus). Risiko utama termasuk kelemahan dalam kepimpinan politik (36.1 peratus) serta rasuah (32.7 peratus)," katanya dalam satu kenyataan. 

Ia juga mendapati bahawa 42.7 peratus responden menjangkakan pertumbuhan ekonomi China akan menjadi lemah pada 2019, tetapi India (42.3 peratus) dan Asia Tenggara (49.1 peratus) diramal akan mempunyai pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh.

Setiausaha Agung PECC Eduardo Pedrosa berkata walaupun dasar-dasar perlindungan semakin banyak dikuatkuasakan, langkah-langkah liberalisasi turut dijalankan oleh ekonomi di Asia-Pasifik.

"Ini termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik dan rundingan yang masih berterusan mengenai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau, yang mampu memberikan hala tuju kritikal dalam dasar yang akan menggalakkan pelaburan perniagaan," katanya. 

Laporan ini juga mengkaji kesan kemajuan teknologi kepada tenaga kerja di Asia-Pasifik, dengan 55 dan 54 peratus, masing-masing di Asia Tenggara dan Asia Timur, menjangkakan lebih ramai orang akan dibuang menjelang 2030.

"Pekerjaan dengan keperluan kemahiran yang rendah selalunya yang paling teruk terjejas dengan 64.1 peratus menjangkakan penurunan dalam bilangan pekerja sokongan perkeranian menjelang 2030, diikuti dengan 59.1 peratus dalam pengendali mesin, 58 peratus dalam buruh perlombongan, pembinaan, pembuatan dan pengangkutan serta 56.5 peratus bagi perkhidmatan peribadi dan jualan. 

"Dengan pengurangan pekerjaan, hampir separuh daripada responden menjangkakan terdapat lebihan pekerja dalam profesion yang sama di Asia-Pasifik menjelang 2030," kata laporan itu lagi.

Menurut Pedrosa, laporan itu mendapati bagaimana ekonomi diselaraskan kepada perubahan teknologi sebenarnya, amat bergantung kepada kapasiti yang dipadankan dengan kemahiran yang ditawarkan oleh jumlah pekerja yang ada serta kemahiran yang diperlukan.

"Kemajuan teknologi juga dijangka akan mewujudkan perubahan struktur dan pekerjaan yang signifikan, di mana ia akan meningkatkan mutu tenaga kerja sambil mengurangkan kuantiti yang diperlukan. 

"Adalah penting bagi pembuat dasar untuk memahami kesan teknologi ke atas pekerjaan serta bagaimana untuk membolehkan sesebuah ekonomi itu berubah dengan licin dan lancar," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan