KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata satu sistem sokongan yang komprehensif perlu dirangka bagi membantu memperkasa golongan wanita dari segi ekonomi, sosial dan politik.
Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, agenda pembangunan dan pemerkasaan wanita tidak akan berkesan jika tiada kesedaran, sokongan dan penglibatan inklusif daripada semua pihak dalam mewujudkan persekitaran seimbang ke arah kesejahteraan wanita.
"Program pembangunan wanita dalam suasana global yang pantas ini tidak mungkin boleh dijalankan secara isolasi. Ia memerlukan kolaborasi semua pihak untuk membolehkan kemahiran yang wujud di pelbagai pihak dapat digabungjalin bagi menghasilkan sesuatu program yang lebih berimpak," katanya kepada Bernama sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut esok (8 Mac) bertemakan #BalanceforBetter atau Seimbang untuk Sejahtera.
Dr Wan Azizah berkata sistem sokongan komprehensif itu penting dalam usaha menangani cabaran berkaitan wanita termasuk peratusan wanita dalam sektor tenaga buruh serta kejadian jenayah dan penderaan.
Sambil menarik perhatian bahawa 15.8 juta daripada 32.6 juta penduduk negara ini adalah wanita, beliau bagaimanapun berkata angka penyertaan wanita dalam tenaga buruh masih jauh ketinggalan daripada kaum lelaki.
"Meskipun enrolmen wanita di peringkat pendidikan tertiari lebih tinggi iaitu 48.3 peratus berbanding lelaki pada 38.2 peratus, wanita hanya mewakili 54.7 peratus keseluruhan tenaga buruh di Malaysia berbanding lelaki iaitu 80.1 peratus.
"Mengikut statistik, wanita juga menerima upah dan gaji lebih rendah berbanding lelaki. Oleh itu, usaha yang lebih produktif perlu dilaksana dan diusahakan bagi memastikan golongan wanita dalam sektor tenaga buruh adalah selari dengan golongan lelaki," katanya.
Dr Wan Azizah berkata kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 56.5 peratus tenaga buruh wanita pada tahun 2020.
Katanya, kajian mendapati terdapat beberapa faktor yang mendorong wanita untuk meninggalkan bidang kerjaya antaranya perkahwinan dan penjagaan anak, diskriminasi gender dan gaji serta gangguan seksual.
"Bagi mengatasi isu itu, Career Comeback Programme (CCP) adalah antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memastikan golongan wanita kembali bekerja. Oleh itu, saya amat menggalakkan agar semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan dalam membantu menjayakan program serta aktiviti bagi menggalakkan lebih ramai wanita menyertai pasaran kerja," tambahnya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata menjadi keperluan semua pihak membantu kerajaan dalam usahanya menyediakan rang undang-undang gangguan seksual bagi melindungi wanita.
Katanya, kesan negatif serta trauma yang dialami mangsa gangguan seksual boleh memberikan implikasi kepada tingkah laku dan emosi yang tidak stabil sehingga boleh mengakibatkan penurunan prestasi kerja, masalah rumahtangga selain mendorong ke arah kemurungan.
Dalam pada itu, beliau berkata wanita perlu sentiasa mendalami ilmu pengetahuan termasuk memahami peruntukan undang-undang berkaitan dengan hak wanita yang ada di negara ini bagi memperkasa diri mereka.
“Wanita perlu berani di dalam mencapai pemerkasaan diri. Wanita perlu berani menyuarakan hak mereka khususnya apabila diri mereka dimanipulasi, dikasari atau didera tidak kira oleh siapa, tempat dan keadaan.
Ini selari dengan kempen #metoo di seluruh negara bagi menyediakan kekuatan psikologi kepada wanita untuk tampil ke hadapan,” katanya.
Bagi tujuan itu, beliau berkata KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita telah mengambil inisiatif merencana beberapa program untuk memperkasa wanita.
Pada masa yang sama mendidik semua golongan masyarakat supaya menghormati dan menyanjung tinggi wanita, antaranya menyediakan khidmat Klinik Guaman, Klinik De’Stress, program Wanita Anti Jenayah (WAJA) dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita.
Dari aspek perundangan, Dr Wan Azizah berkata terdapat undang-undang yang memberi perlindungan kepada wanita termasuk Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dan Akta Kanak-kanak 2001.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial