Oleh Aishah Mohamad Afandi
KUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) -- Memandangkan lonjakan dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan data raya, pembina dan pemasang superkomputer tempatan, Twistcode Technologies Sdn Bhd, menyasarkan hasil sebanyak RM100 juta pada akhir tahun ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Nurazam Malim Sidik Malim berkata sumbangan hasil dijangka disumbang oleh bahagian perisian, perkakasan serta perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Tahun lepas, kami membekalkan superkomputer bernilai RM30 juta kepada beberapa syarikat multinasional, dan kini mengembangkan portfolio kami kepada sektor perbankan, pembuatan, insurans serta penjagaan kesihatan,” katanya kepada Bernama,
Beliau berkata berikutan peningkatan permintaan terhadap pendigitalan, sektor penjagaan kesihatan dan insurans perlu melakukan banyak kerja menggunakan komputer, dengan kebanyakan operasi harian dijalankan secara tradisional sekarang.
“Kami bekerjasama dengan mereka untuk memudahkan peralihan kepada automasi, serta menyediakan perkhidmatan dengan kecerdasan buatan dan keupayaan untuk melaksanakan pelbagai prosedur secara serentak,” katanya.
Supercomputer adalah komputer berprestasi tinggi yang berupaya melaksanakan berjuta-juta arahan sesaaat, berbanding komputer biasa.
Twistcode baru-baru ini disenaraikan di kedudukan ke-88 dalam senarai High Performance Conjugate Gradient, pelengkap kepada penanda aras High Performance LINPACK, yang ketika ini digunakan sebagai rangking bagi sistem pengkomputeran TOP500.
Syarikat itu juga merupakan satu-satunya entiti dari Asia Tenggara yang memasuki senarai tersebut, dan Nurazam berkata ia secara tidak langsung telah meletakkan nama Malaysia di peta dunia bagi penggunaan superkomputer.
“Setakat ini, kami adalah satu-satunya syarikat di Malaysia yang memiliki sistem dan prasarana superkomputer kami sendiri. Kami merancang membuka satu lagi pusat data di Kuala Lumpur,” katanya.
Mengenai rancangan masa depan, beliau berkata syarikat itu menyasar membuka dua lagi pusat data di Filipina dan Indonesia menjelang 2020 sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan.
Twistcode merupakan penerima dana pemula perniagaan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia. Sejak itu ia telah bekerjasama dengan pelbagai universiti tempatan bagi program-program dan ketika ini sedang membangunkan algoritma untuk menganalisis hantaran media sosial dan menyaring berita palsu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial