AM

PERLEMBAGAAN BENTUK SEBUAH KERAJAAN PUSAT YANG CUKUP KUAT

01/07/2019 10:40 PM

NILAI,  1 Julai (Berrnama) -- Perlembagaan Persekutuan telah membentuk sebuah kerajaan pusat yang cukup kuat dalam mengawal negeri-negeri dengan pelbagai cara termasuk dalam hal pindaan perlembagaan, kata pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Emeritius, Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Shad Saleem, penyandang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya, berkata  kuasa meminda Perlembagaan adalah sebahagian besarnya milik Parlimen kecuali dalam tiga bidang seperti termaktub dalam Perkara 2 (b), Perkara 159 dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga bidang tersebut ialah Perkara 2 (b) melibatkan pengubahan sempadan mana-mana negeri, Perkara 161E (perlindungan kedudukan dari segi perlembagaan negeri Sabah dan Sarawak) dan ketiga, kedaulatan Raja atau mana-mana 10 topik yang disebut dalam Perkara 159 (5) seperti kedudukan agama Islam dan kewarganegaraan.

“Hanya tiga bidang ini perlu mendapatkan persetujuan insitusi atau pihak berkuasa di luar Parlimen dan sekiranya tidak, negeri-negeri tidak mempunyai kuasa untuk menghalang pindaan perlembagaan,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk: “Hubungan Negeri dan Persekutuan di Malaysia” pada Persidangan Fahaman Persekutuan di Malaysia: Mentakrif Semula Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia, di sini, hari ini.

Persidangan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini bertujuan menggalakkan pemahaman dan wacana yang lebih luas, serta membolehkan generasi Malaysia masa kini menghargai visi para pengasas negara dan kaitan fahaman persekutuan dalam persekitaran zaman sekarang.

Persidangan dua hari itu dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Sementara itu, Prof Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar, dalam kertas kerja berjudul: ‘Sebuah Nota Prakemerdekaan Negeri Sembilan Menerusi Kaca Mata Fahaman Persekutuan dan Perlembagaan’, berkata salah satu tujuan fahaman persekutuan adalah untuk mencapai perpaduan dan memelihara kepelbagaian negeri-negeri persekutuan.

Penceramah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata perpaduan dan kepelbagaian penting dalam prinsip persekutuan kerana fahaman persekutuan mengungkapkan dan menyalurkan dua kekuatan sosial iaitu kekuatan perpaduan dan daya memelihara perbezaan.

“Idea perpaduan dalam kepelbagaian dalam susunan perlembagaan, saya rasa relevan dalam konteks Negeri Sembilan sebagai salah satu negeri dalam persekutuan. Berbanding dengan negeri-negeri lain di Persekutuan, Negeri Sembilan mempunyai keunikan budaya dan tradisi yang berbeza.

“Secara umum diketahui keunikan itu berasal daripada tradisi Adat Perpatih. Negeri-negeri lain dalam Semenanjung mengamalkan Adat Temenggung. Ini menunjukkan bagaimana konsep fahaman persekutuan membenarkan pengekalan adat dan tradisi di negeri-negeri,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan