AM

Pak Man intai peluang hantar pes asam pedas ke Jepun

04/07/2019 10:55 AM

Oleh Ahmad Muliady Abdul Majid

MELAKA, 4 Julai (Bernama) -- Pemilik restoran Asam Pedas Pak Man, Abdul Rahman Hassan berhasrat untuk eksport pes asam pedasnya ke Jepun bermula tahun depan.

Abdul Rahman, 69, yang mesra dengan panggilan Pak Man berkata pada awalnya beliau menghasilkan pes asam pedas bagi kegunaan sendiri di dua buah restorannya yang terletak di Ujong Pasir dan Bukit Katil.

"Saya membuat pes asam pedas dalam kuantiti yang banyak bagi menghasilkan kuah asam pedas untuk kegunaan sendiri.

"Pada awalnya saya hanya menjualnya kepada saudara-mara dan kenalan rapat apabila mereka minta untuk membelinya setelah menjamah asam pedas di restoran saya.

"Dulu saya jual pes dalam bekas plastik sahaja dan kini setelah mendapat permintaan tinggi saya mula botolkan pes asam pedas bermula tahun lepas," katanya kepada Bernama hari ini.

Pak Man berkata beliau bersama anak-anaknya kini sedang berusaha untuk mendapat sijil halal dan keperluan lain bagi menyiapkan produk pes asam pedas sebelum bersedia untuk dieksport ke luar negara.

"Saya lihat bahawa pes asam pedas ada potensi untuk dieksport ke Jepun apabila ada pihak yang menunjukkan minat untuk menerimanya di sana," katanya.

Katanya bagi menampung permintaan yang tinggi beliau bercadang untuk menambah mesin memproses pes asam pedas pada masa akan datang.

Pak Man berkata beliau bercadang untuk bersara dari dunia perniagaan dan akan menyerahkan perniagaan kepada anak-anak dan menantunya.

Setelah berjaya membuka dua restoran di Ujung Pasir dan Bukit Katil, Pak Man bakal menyerahkan perniagaannya kepada anak-anaknya bagi mengembangkan lagi masakan asam pedas.

Bernama sebelum ini melaporkan Pak Man mula berniaga dengan modal RM50 kira-kira 19 tahun lepas mampu berbangga dengan kejayaanya apabila kini mempunyai lebih daripada 60 orang pekerja.

Bangunan tiga tingkat, Restoran Asam Pedas Pak Man cawangan Bukit Katil terletak 15 kilometer dari Plaza Tol Ayer Keroh atau kira-kira 25 minit perjalanan.

Sebagai rekod, mengikut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Malaysia mengeksport makanan siap diproses bernilai RM4.4 bilion ke negara Asia Timur pada tahun lepas.

Jepun adalah destinasi eksport produk makanan siap proses yang kedua terbesar Malaysia bernilai RM946 juta selepas China (RM1.87 bilion), diikuti Hong Kong (RM648 juta), Korea (RM543 juta) dan Taiwan (RM361 juta).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan