MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Kira-kira 70.46 peratus atau 66,037 orang daripada 93,716 penumpang yang menaiki bas percuma yang dikenali sebagai 'Melaka Berwibawa' di negeri itu terdiri daripada rakyat tempatan sejak ia mula beroperasi 20 Ogos lepas, Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka diberitahu hari ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata perkhidmatan berkenaan juga turut dinaiki penumpang warga asing iaitu sebanyak 29.54 peratus atau 27,679 orang melibatkan jumlah jualan tiket sebanyak RM48,730.30.
"Secara dasarnya perkhidmatan bas Melaka Berwibawa ini memberi manfaat kepada rakyat tempatan dan bukannya warga asing seperti yang didakwa sesetengah pihak.
"Purata penumpang sehari yang menggunakan perkhidmatan bas percuma ini merekodkan pola menaik dari bulan ke bulan yang mana ia turut memberi indikasi positif bahawa rakyat Melaka dan pengguna bas awam keseluruhnannya menyambut baik usaha pelaksanaan perkhidmatan bas percuma ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (BN-Asahan) berhubung perkembangan dan sambutan orang ramai ke atas perkhidnatan bas percuma di negeri itu.
Mengulas lanjut, Mohd Sofi yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal berkata pengoperasian tiga bas percuma yang melibatkan tiga laluan di daerah Melaka Tengah itu tidak akan ditambah dalam masa terdekat namun ia bergantung pada peruntukan atau bajet kerajaan negeri.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri Melaka bercadang mewujudkan perkhidmatan bas elektrik di negeri ini dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.
Katanya inisiatif itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri ke arah bandar pintar dan pelaksanaan teknologi hijau di negeri itu.
"Ia merupakan usaha jangka masa panjang kita dan buat permulaan mungkin satu atau dua unit bas elektrik akan diperkenalkan sama ada untuk bas henti-henti atau bas percuma," katanya.
Beliau berkata penggunaan lampu isyarat pintar menggunakan teknologi gelombang hijau yang selaras (SGW) yang telah diguna pakai di tujuh lampu isyarat melibatkan laluan dari tol Ayer Keroh hingga ke simpang air terjun Padang Jambu di sini berjaya mengurangkan kira-kira 60 peratus masa perjalanan dari dua destinasi itu.
Katanya sistem tersebut juga dijangka akan digunakan pada lampu isyarat di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin dan pengujiannya sedang dilaksanakan.
"Kita memang bercadang untuk mengguna pakai sistem SGW ini namun bergantung pada bajet kerana RM500,000 diperlukan bagi mengguna pakai sistem itu di tujuh lampu isyarat berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial