AM

Polis buru dua individu cuba larikan mesin ATM di Setia Alam

11/08/2019 11:15 PM

SHAH ALAM, 11 Ogos (Bernama) -- Polis sedang memburu dua lelaki kerana cuba melarikan dua mesin deposit wang tunai (CDM) dan  sebuah mesin pengeluaran wang  (ATM) sebuah bank di Setia Alam, di sini pagi tadi

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib, berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di premis bank berkenaan, kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 6.43 pagi tadi.

Katanya melalui CCTV itu seorang lelaki berjaket hitam dan berseluar jeans pendek telah dilihat cuba untuk mengumpil mesin ATM di premis berkenaan menggunakan sebatang besi.

"Selepas itu seorang lagi lelaki memakai jaket hitam berhud dan seluar jeans masuk ke dalam premis berkenaan dan memasang rantai besi dan cangkuk pada mesin ATM itu.

“Tetapi usaha mereka untuk menarik keluar mesin ATM itu menggunakan kenderaaan gagal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun Baharudin berkata kenderaan yang digunakan untuk menarik mesin ATM tidak dapat dikenal pasti kerana tiada CCTV di luar premis bank itu.

Katanya, siasatan yang dilakukan pihaknya mendapati terdapat kesan umpil di dua mesin CDM serta satu mesin ATM.

Kata Baharudin lagi, ketika kejadian tiada pengawal keselamatan bertugas dan pintu shutter di bahagian ATM dan CDM berkenaan akan tertutup secara automatik pada pukul 12 tengah malam dan dibuka pada pukul 6.00 pagi setiap hari

“Kejadian ini berlaku kurang dari dua minit. Kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan