AM

Kerajaan N.Sembilan akan tangani lembu pelihara dibiar berkeliaran

04/09/2019 10:24 PM

SEREMBAN, 4 Sept -- Kerajaan negeri sedang mengkaji kaedah dan tindakan yang sesuai bagi menangani masalah lembu dan kerbau peliharaan dibiar berkeliaran oleh penternak di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).   

Sehubungan itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, satu jawatankuasa akan dibentuk bagi mencari jalan terbaik menangani masalah tersebut. 

"Anggota jawatankuasa ini termasuk PBT, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Pertanian.  

“Ia (jawatankuasa itu) akan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan Kerajaan Tempatan Dan Kampung Baru negeri Teo Kok Seong,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Negeri di sini, hari ini.   

 Aminuddin berkata kawasan PBT adalah kawasan larangan bagi haiwan itu dan haiwan yang berkeliaran menimbulkan masalah terutama mengakibatkan banyak kemalangan maut di jalan raya sejak akhir-akhir ini.

Katanya, terbaru kemalangan maut membabitkan dua penunggang motosikal dan lembu yang mati terbiar di Jempol dan Mantin baru-baru ini.

"Kemalangan maut ini menimbulkan kerungsingan apabila penternak tidak mengaku lembu atau kerbau yang terbabit dalam kemalangan itu adalah milik mereka.

"Salah satu kaedah untuk mengawal lembu dan kerbau terbiar ini ialah dengan meletakkan tag di telinga haiwan berkenaan di mana tag tersebut tertera nama pemilik. Program percubaan ini telah dilaksanakan di Nilai baru-baru ini dan kita sedang lihat keberkesanannya," katanya.

"Dalam pada itu, kos yang ditanggung PBT untuk menangkap lembu atau kerbau terbiar ini adalah tinggi.

“Begitu juga PBT menghadapi masalah untuk menempat dan menjaga lembu atau kerbau terbiar setelah ditangkap," katanya.   

-- BERNAMA           


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan