SEREMBAN, 20 Sept (Bernama) -- Selepas Masjid Hussain di Seremban 2, kini Masjid Sri Sendayan yang terletak di Bandar Sri Sendayan, menjadi masjid kedua diwakafkan oleh pengasas Kumpulan RHB Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Masjid, yang mula dibangunkan pada tahun 2015 itu dan dibina di atas tanah seluas 4.5 hektar, itu mampu menampung kira-kira 5,000 jemaah dalam satu masa, mula dibuka untuk kegunaan umat Islam hari ini manakala Masjid Hussain pada 2014.
Masjid, yang merangkumi Kompleks Pusat Islam itu mempunyai dewan solat utama, dewan solat kedua, dua buah bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah dan bangunan pentadbiran.
Binaannya yang seakan mirip seperti Masjid Nabawi di Madinah, turut mempunyai pusat untuk anak yatim yang boleh menempatkan 52 penghuni selain dilengkapi bilik ulangkaji serta dewan makan.
Majlis Penyempurnaan Wakaf Masjid Sri Sendayan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan, Ismail Ahmad dan turut dihadiri Abdul Rashid.
Ismail dalam ucapannya pada majlis itu menyeru ahli perniagaan dan hartawan lain supaya mencontohi inisiatif yang dilakukan Abdul Rashid.
“"Mewakili Kerajaan Negeri, saya mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Rashid Hussain, keluarga dan seluruh kumpulan pengurusan pembangunan yang bertungkus-lumus membina masjid ini dalam masa empat tahun.
“Saya berharap masjid ini dapat dimanfaatkan bukan sahaja untuk beribadat tetapi juga sebagai tempat untuk persaudaraan dan kesatuan selain program agama dan kemasyarakatan. Masjid ini juga boleh menjadi satu tarikan pelancongan kerana binaannya mempunyai ciri-ciri Masjid Nabawi dan ia masjid terbesar di Negeri Sembilan selain Masjid Negeri,” katanya.
Masjid, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Seremban, itu mula dibuka untuk solat Subuh dan Jumaat hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial