AM

Fasa peralihan monsun berpotensi sebabkan banjir kilat

03/10/2019 06:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Okt -- Fasa peralihan monsun yang membawa hujan lebat dan ribut petir dijangka tidak membawa banjir besar, sebaliknya berpotensi menyebabkan banjir kilat di kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang baik.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon berkata dalam tempoh itu, hujan lebat hanya berlaku pada waktu petang dalam masa yang singkat di kebanyakan kawasan negeri di pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah, kawasan barat dan tengah Sarawak.

"Keadaan ini (fasa peralihan monsun) biasanya tidak membawa kepada banjir yang besar tetapi ada kemungkinan akan berlaku banjir kilat sekali sekala terutama di kawasan rendah dan kawasan bandar yang mengalami masalah longkang tersumbat serta saliran yang tidak baik," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. 

Jailan berkata ketika fasa peralihan monsun ini, pembentukan awan yang menyebabkan ribut petir mudah berlaku berikutan tiupan angin yang lemah.

Justeru beliau menasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar ketika hujan lebat dan ribut petir bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Jailan berkata fasa peralihan ​​​​​monsun ​yang bermula 24 Sept lalu selepas berakhirnya monsun barat daya dijangka berterusan sehingga minggu kedua November, sebelum beralih kepada monsun timur laut.

“Apabila monsun timur laut bermula, biasanya negeri-negeri di pantai timur akan mengalami hujan lebat yang berterusan dan boleh membawa banjir.

“Banjir (besar) kita tak pasti (bila). Tetapi hujan dijangka bermula pertengahan November hingga awal Januari yang mana biasanya Kelantan dan Terengganu mengalami hujan lebat sekitar bulan November manakala selatan Pahang dari Disember hingga Januari.

Taburan hujan lebih kurang sama dengan tahun-tahun lalu, cuma banjir besar atau tidak, kita masih belum pasti,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan