AM

Fasiliti, layanan koc perniagaan ETS2 seperti dalam pesawat

11/10/2019 08:58 AM

KUALA LUMPUR, 11 Okt -- Layanan dan fasiliti sama seperti menaiki kapal terbang, itu yang boleh digambarkan mengenai perkhidmatan dalam koc kelas perniagaan yang diperkenalkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi Perkhidmatan Tren Elektrik 2 (ETS2) bermula hari ini.

Kemudahan seperti zon wifi percuma, 'In-Train Entertainment', butang bantuan, slot USB, soket kuasa tiga pin, lampu membaca sehinggalah kerusi yang boleh diputarkan 360 darjah, koc yang boleh memuatkan 36 penumpang pada satu-satu masa itu sememangnya menepati slogannya - 'A Class of Its Own'. 

Malah, bukan itu sahaja, terdapat pelayan khas turut dikenali sebagai pramugara dan pramugari, yang akan mengedarkan makanan dan minuman kepada para penumpang, dan menariknya kesemua mereka sebenarnya mendapat latihan daripada syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad sendiri.

"Ini merupakan koc kelas perniagaan eksklusif yang pertama seumpamanya di negara ini," kata Pengerusi KTMB Datuk Rameli Musa kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Pelancaran ETS2 semalam. 

Gerabak kelas perniagaan adalah satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka khas untuk penumpang yang mahukan lebih keselesaan sebagai pilihan untuk mereka yang mahukan kelainan tersendiri ketika menaiki perkhidmatan tren itu, selain dilengkapi kemudahan kondusif seiring jenama kelas perniagaan itu. 

Rameli yang turut menunjukkan sendiri ciri-ciri khas pada koc perniagaan itu berkata, 'In-Train Entertainment' yang berupa seperti sebuah skrin di setiap tempat duduk penumpang boleh digunakan untuk mendengar muzik, menonton filem, melayari internet serta membuat tempahan makanan.

Semenjak KTMB mengumumkan harga tiket promosi pada 15 Sept lepas, tiket bagi tempoh perjalanan bermula hari ini sehingga 30 Okt sudah habis terjual hanya dalam tempoh seminggu sahaja. 

Tiket promosi bagi perjalanan 1 Nov hingga 30 Nov pula akan mula dijual pada 15 Okt ini. 

"Bagaimanapun, selepas harga promosi ini tamat kita akan mengikut konsep syarikat penerbangan yang mana harga tiket akan mengikut musim," katanya. 

Rameli berkata bermula hari ini, terdapat dua trip perjalanan sehari bagi perkhidmatan ETS2 berkenaan iaitu Kuala Lumpur ke Padang Besar dan Padang Besar ke Kuala Lumpur. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung ETS2 di laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau ktmberhad (Facebook), ktmbofficial (Instagram), @ktm_berhad (Twitter) atau menerusi Pusat Panggilan 24 jam KTMB di talian 03-22661200.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan