EKONOMI

Syarikat Aqina peneraju ayam nanas inovasi tempatan

19/10/2019 01:25 PM

Oleh: Lucia Terey John

PONTIAN, 16 Okt  -- Apabila menyebut nanas, apa yang terlintas di fikiran ramai pastinya produk hiliran buah berkenaan dalam bentuk jus, nanas segar dalam tin atau pun benang serat nanas.

Tidak ramai yang menyedari bahawa buah nanas juga mempunyai nilai tambah lain, sekali gus meningkatkan potensi serta kelebihan buah itu serta produk yang dihasilkannya.

Inilah yang menjadi teras Aqina Group of Companies yang memiliki ladang nanas Aqina Fruits Plantation Sdn Bhd di Kampung Sam, di sini, yang melakukan inovasi terhadap produk hiliran nanas jenis MD2. 

Selain membekalkan benih nanas MD2 kepada pekebun-pekebun di seluruh negara dan mengeksportnya ke luar negara, syarikat itu juga bertindak mempelbagaikannya dengan menjadikan enzim Bromelin daripada ekstrak buah nanas sebagai makanan ternakan ayam bagi menghasilkan ayam segar nanas yang bernilai tinggi.

Malah, daging ayam berkenaan dikatakan lebih lembut, berkualiti, kurang lemak serta enak.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Antarabangsa syarikat itu, Muhammad Kumu berkata syarikat merupakan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengeluarkan ayam nanas berasaskan inovasi tersebut. 

“Usaha inovasi ini dimulakan sejak 2018 membabitkan kos kira-kira RM100,000. Kami mendapat idea itu kerana memiliki (ladang) buah nanas MD sendiri dan mahukan hasil daripada berfikir di luar kebiasaan. 

“Bagi menjayakannya, kami menjalankan kajian bersama dengan Universiti Malaysia Pahang dan ia terbukti menghasilkan keputusan amat memberangsangkan,” katanya kepada Bernama, semalam.

Muhammad berkata kini selepas setahun inovasi itu dijalankan, pihaknya boleh berbangga kerana produk ayam nanas tersebut sudah dipasarkan ke seluruh negara sejak enam bulan lepas di pasar raya utama seperti Giant, Aeon, Village Grocer, Jaya Grocer, Hero Market, Makato dan Cold Storage.

”Setakat ini, kami mendapat maklum balas amat baik daripada orang ramai. Jumlah jualannya juga semakin meningkat daripada 25 tan seminggu sebelum ini kepada 35 tan seminggu dengan perolehan kira-kira RM350,000 seminggu,” katanya.

Menurut Muhammad, berdasarkan permintaan yang memberangsangkan itu, pihaknya kini menyasarkan untuk memasarkan produk ayam nanas itu ke Timur Tengah yang merupakan pasaran eksport pertama syarikat itu di luar negara.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin yang berkesempatan melawat ladang nanas milik Aqina, semalam, turut berkongsi rasa teruja terhadap usaha inovasi berkenaan.

Menurutnya, ini berikutan enzim Bromelin nanas itu juga berperanan untuk mencernakan protein dan telah digunakan dalam bidang perubatan dan memiliki fungsi antidematosa (mencegah bengkak akibat gangguan organ), mencegah penggumpulan darah serta antiinflamasi (mencegah keradangan).

“Bromelin dalam buah nanas juga boleh dijadikan pelembut daging untuk masakan dan turut digunakan oleh beberapa negara.

“Sebab itu, saya difahamkan makanan ayam berasaskan bromelin daripada ekstrak buah nanas yang dihasilkan Aqina ini telah menjadikan ayam nanas ini berbeza daripada produk ayam segar lain.

“Ayam nanas didapati kurang lemak serta mempunyai tekstur daging yang lebih lembut dan padat, serta najis yang dihasilkan ayam juga dikatakan lebih kering dan kurang berbau yang kemudiannya digunakan pula untuk pembajaan tanaman nanas MD2 di ladang,” katanya. 

Sim turut menyifatkan industri nanas dijangka terus berkembang dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan sebanyak lima peratus setahun.

"Inovasi-inovasi seperti ini amat penting kerana mampu menjadi pemangkin bagi memajukan sektor pertanian, sekali gus memberi pulangan lumayan kepada pengusahanya," kata beliau. 

Turut melawat ladang tersebut ialah Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Ketua Pengarah LPNM Ruhaida Mashhor.

-- BERNAMA   


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan