KUALA LUMPUR, 20 Okt -- Penduduk di kawasan yang kerap dilanda banjir kilat dan tinggal di kawasan rendah disaran sentiasa berwaspada dan peka terhadap hujan sepanjang fasa peralihan monsun yang dijangka berlaku sehingga awal bulan November ini.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dalam satu kenyataan berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap negeri juga diminta kerap memeriksa sistem saliran tempatan dan saliran permukaan yang lain termasuk sungai, parit dan longkang agar aliran air tidak terhalang oleh sampah atau sisa tumbuhan.
Kekerapan kejadian banjir kilat akan meningkat terutamanya di kawasan-kawasan rendah berikutan fasa peralihan monsun itu, menurut kenyataan itu.
“Semasa fasa ini berlaku, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam jangka masa singkat akan kerap berlaku terutamanya pada lewat petang dengan kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak akan terdedah kepada situasi ini.
"Risiko kejadian banjir kilat boleh meningkat terutamanya di kawasan berhampiran laut jika air laut pasang tinggi berlaku serentak dengan hujan lebat," menurut kenyataan itu.
Menurut kementerian itu, pemantauan hujan dan banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) setakat ini menunjukkan hujan tertumpu pada kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Setakat ini, kejadian banjir kilat dilaporkan berlaku di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.
“Bagi menyokong usaha kesiapsiagaan, hujan dan paras air sungai boleh dipantau oleh umum di Laman web publicinfobanjir.water.gov.my,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial