EKONOMI

MoU antara MPOB, Wild Asia tingkat jumlah pekebun kecil mendapat sijil MSPO

02/11/2019 04:58 PM

KAMPAR, 2 Nov  -- Pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) diantara Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Wild Asia Sdn Bhd dijangka dapat meningkatkan jumlah pekebun kecil mendapat pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata ini kerana modul Wild Asia Growers Scheme (WAGS) yang diperkenalkan oleh Wild Asia lebih efisien.

"Kerjasama dengan WAGS untuk memastikan pensijilan MSPO kepada pekebun kecil dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh kerana pendekatan yang digunakan Wild Asia memudahkan pekebun kecil.

"Pihak kementerian berhadapan dengan cabaran untuk memastikan pekebun kecil mendapat pensijilan MSPO sebab itu antara jalan yang dilihat adalah bekerjasama dengan organisasi 'social enterprise' seperti Wild Asia yang mempunyai modul yang efisien," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri hari terbuka Wild's Asia di Kampung Chenderong Kelubi di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Wild Asia Sdn Bhd yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya Dr Reza Azmi dan MPOB yang diwakili oleh Ketua Pengarah Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata kerjasama tersebut diharap dapat menjayakan hasrat kerajaan supaya setiap minyak sawit keluaran negara ini adalah lestari.

Dalam pada itu, semasa berucap beliau berkata projek yang dijalankan oleh Wild Asia bukan sahaja berfungsi untuk memastikan pensijilan pekebun kecil malah membantu meningkatkan pengeluaran sawit yang lebih baik dengan menekankan kepentingan memperbaiki kesuburan tanah secara semula jadi.

"Selain itu, syarikat Wild Asia turut membantu pekebun kecil untuk mengurangkan kos pertanian dan memperkenalkan kepelbagaian tanaman untuk penjanaan hasil pendapatan sekaligus meningkatkan keuntungan keseluruhan para pekebun kecil. 

"Kaedah-kaedah ini akan dapat membantu para pekebun kecil untuk mengekalkan status persendirian, dan seterusnya membina ekonomi kawasan setempat," katanya.

Kataya sehingga 30 Sept lepas, seluas 62,600 hektar atau enam peratus daripada 979,900 hektar tanaman sawit pekebun kecil di Malaysia telah mendapat pensijilan MSPO. 

Manakala bagi negeri Perak, seluas 6,855 hektar atau 5.5 peratus daripada 125,000 hektar tanaman sawit pekebun kecil di Perak mempunyai sijil MSPO.

-- BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan