EKONOMI

Penggiat global terus tertarik dengan ekonomi Malaysia, lokasi strategik - Ketua Ekonomi IQI

12/11/2019 09:45 PM

Laporan Eksklusif Oleh: Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR, 12 Nov -- Malaysia akan terus menjadi tarikan kepada pelabur global berdasarkan kedudukan ekonominya yang kukuh dan kepentingannya dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kata Ketua Ekonomi IQI Global Shan Saeed.

Beliau berkata terdapat banyak kelemahan kewangan di Eropah dan banyak negara maju sejak kebelakangan ini.

"Bagaimanapun, ASEAN dan Malaysia masih mengekalkan pertumbuhan ekonomi berikutan kematangan politik mereka. Pengurus dan pembuat keputusan ekonomi mempunyai kaedah untuk meningkatkan pertumbuhan dan mencapai paras trajektori pertumbuhan yang tinggi dengan cara berstruktur,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan Moody's untuk menurunkan unjuran penarafan kredit global bagi 2020 kepada ‘negatif’ berbanding ‘stabil’ semalam.

Agensi penarafan itu berkata negara-negara yang mempunyai kaitan dengan rantaian bekalan global seperti Malaysia dan Singapura menghadapi kelembapan dalam ekonomi mereka.

IQI Global merupakan syarikat hartanah dan pelaburan terkemuka yang beroperasi dan menasihati pelanggan di Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, London, Melbourne, Bangkok, Makati, Toronto dan Dubai.

Shan, yang mempunyai lebih 18 tahun pengalaman pasaran kewangan dalam bidang perbankan persendirian, pengurusan risiko/pematuhan, pelaburan komoditi, ekonomi global, jenama dan strategi perniagaan, berkata : "Apabila kita menghadapi masa sukar dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, beberapa pembolehubah menjadi penting dalam kalkulus makro-ekonomi, iaitu keyakinan ekonomi, kestabilan politik, permintaan agregat, tenaga kerja produktif dan demografi.” 

Beliau berkata dilihat sejak 2015, pertumbuhan ekonomi mempunyai hubungan langsung dengan demografi.

"Malaysia mempunyai penduduk muda celik teknologi dengan keinginan untuk berjaya yang menjadi ciri utama bagi banyak negara-negara yang semakin berkembang," katanya.

Beliau berkata Malaysia juga mempunyai kedudukan yang strategik dalam pasaran perdagangan global dengan tumpuan kepada pelaburan langsung asing (FDI) dan hubungan perdagangan yang baik di seluruh dunia.

Shan berkata pertikaian perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) turut memberi peluang baharu dengan pelabur global memindahkan operasi mereka ke Malaysia disebabkan tenaga buruh yang produktif dan lokasi strategik negara. 

"Di IQI Global, kami yakin dengan pertumbuhan ekonomi pada 2019 dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.5 peratus hingga 5 peratus dan ringgit yang stabil pada 3.95 hingga 4.40 berbanding dolar US,” katanya.

Beliau berkata Malaysia merupakan pemain penting dalam BRI, yang termasuk di bawah koridor selatan BRI, berikutan 80 peratus daripada perdagangan China bergerak dari barat ke timur melalui Selat Melaka.

Shan berkata FDI kekal kukuh berikutan kestabilan politik negara. 

Menurut Jabatan Perangkaan, jumlah pelaburan langsung asing Malaysia meningkat 10.3 peratus kepada RM667.5 bilion pada suku kedua tahun ini daripada RM605.1 bilion pada tahun lepas.

"Ini agak menarik pada masa ini, mengambil kira cara Eropah dan UK bergolak disebabkan pertelingkahan politik di peringkat atasan. Brexit menjadi antara ancaman serius dalam era moden. 

 "Nisbah hutang berbanding KDNK di bawah paras nilai ambang. Kerajaan dapat menurunkan jumlah hutang dalam tempoh 17 bulan lepas, dengan pelabur pada peringkat makro,” katanya.

Shan berkata nisbah hutang berbanding KDNK Malaysia sebanyak 51.8 peratus pada 2018. 

Katanya pada pandangan beliau, Malaysia akan terus mencatatkan hasil ekonomi yang kukuh berdasarkan kepentingannya dalam persamaan BRI dan kedudukan geografi yang strategik.

"IQI adalah penggiat global dan tidak mengikut pandangan agensi penarafan.  

“Pelabur global memilih untuk menempatkan dana di negara dengan kestabilan politik, lembaran imbangan yang kukuh, tenaga buruh yang produktif dan bahagian fiskal yang berdisiplin, dan selain itu, mengekalkan keyakinan ekonomi di peringkat makro. Malaysia menjadi aspek penting dalam perdagangan global,” kata Shan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan