FOKUS BERNAMA

Resipi Turun-Temurun, Keistimewaan Laksa Kuala Perlis

24/12/2019 12:17 PM

Oleh Alia Siti Khadijah Azhar

KANGAR (Bernama) -- Jika berada di Perlis, tidak lengkap sekiranya tidak menikmati laksa Kuala Perlis atau dikenali juga sebagai 'laksa kola'’. 

Bagi penduduk tempatan, laksa kola restoran Kak Su Laksa yang terletak di Jalan Siakap Satu, Kuala Perlis adalah antara yang popular dan amat sinonim kerana kelainan proses pembuatan laksa berasnya.

Restoran Kak Su Laksa yang beroperasi sejak 2009, diuruskan Abdullah Osman, 60, yang juga 'ketua cef' dan beliau masih meneruskan resípi tradisi keluarga yang diwarisi sejak 46 tahun lalu.

Nama restoran Kak Su diperoleh daripada kakak angkat beliau, Su Noh, 69 tahun yang digelar sebagai Mak Su.

 

KAEDAH TRADISI 

Saban hari, di sebalik kesibukan restoran itu, Abdullah yang lebih mesra disapa Pak Ude tekun menghasilkan laksa beras secara tradisi.

Menurut Abdullah, pada hari biasa beliau menghasilkan sekurang-kurangnya 60 kilogram laksa beras, namun kuantitinya boleh mencecah sehingga ratusan kilogram pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

"Kalau musim cuti, memang tidak berhenti…dari pagi sehingga petang memang sentiasa buat (laksa) sebab tak cukup. Ramai orang datang bukan sahaja untuk makan di sini malah bungkus secara kilo," kata Abdullah kepada Bernama ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.

Ramuan laksa beras Kak Su secara turun-temurun ialah tepung ubi kayu, tepung beras dan beras kisar.

Bagi menjamin keaslian dan kualiti laksa beras itu, Abdullah sendiri melakukan serta memantau proses pembuatan laksa beras.

Menurut Abdullah, beras kisar kini sudah semakin dilupai dan ditinggalkan oleh pengusaha laksa kerana cara penghasilannya yang rumit.

"Beras itu perlu direndam kemudian dikisar, barulah dijemur. Memang akan mengambil masa yang panjang.

"Hasil itulah yang dicampur dengan ramuan lain. Orang sekarang memang tidak mahu ikut resipi yang rumit ini dan mereka selalunya hanya akan guna tepung beras yang siap diproses, rasa tidak sama," katanya.

Campuran itu kemudiannya diuli dengan tangan sebelum dijadikan doh berbentuk bulat dan direbus sekitar dua hingga tiga minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin khas untuk disebatikan semula dengan campuran tepung.

Untuk menghasilkan uraian halus laksa, bahan ini kemudiannya dimasukkan ke dalam mesin laksa atau 'gebok' . Proses terakhir ialah doh berkenaan akan ditekan dalam acuan mesin sebelum terus jatuh ke dalam kawah yang tersedia air rebusan sebelum ditos dan dihidangkan kepada pelanggan.

 

KEENAKAN DAN KEISTIMEWAAN LAKSA BERAS KAK SU 

Untuk menghasilkan kuah laksa pula, Abdullah berkata beliau membeli ikan segar seperti ikan temenung (kembong) dan selayang setiap hari daripada nelayan dan peniaga di Jeti Kuala Perlis yang terletak berhampiran. 

"Jika musim cuti sekolah, sebanyak 200 kilogram ikan diperlukan sehari untuk menghasilkan kuah laksa,” katanya.

Resipi kuah laksa Kak Su Laksa pula merupakan resipi istimewa keluarga ini dan menjadi sebutan penduduk tempatan dan pelancong yang berkunjung ke Kuala Perlis. Ini kerana kuah laksanya berlemak, tidak pedas namun manis hasil daripada rasa ikan yang segar.

Apa yang lebih istimewa untuk menikmati laksa di restoran Kak Su Laksa ialah laksanya akan dihidangkan bersama-sama pulut udang dan kuih spera.

Kuih spera, bentuknya seperti karipap tetapi intinya berupa sambal kelapa, seperti kuih cucur badak.

Kombinasi laksa dan kuih spera ini benar-benar memberi rasa yang unik dan sedap bagi penggemar laksa utara.

"Di sini (laksa Kak Su), kami memang akan campur pulut udang dalam laksa, memang sangat sedap. Kepada yang tidak biasa boleh sahaja makan pulut berasingan.

"Selain pulut udang, kami ada jual kuih lain dan keropok lekor," kata Abdullah.

 

SEJARAH PERNIAGAAN LAKSA 

Mengimbau kembali kenangan ketika  era 70-an, Abdullah berkata beliau dan adik-beradik yang lain mula menjual laksa hasil tangan ibunya di sekitar Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis.

"Dahulu kami mula jual laksa di sekitar kawasan rumah sahaja. Kami bawa laksa dalam raga dan dilapik dengan daun pisang, kemudian siapa yang hendak beli laksa akan bawa mangkuk sendiri.

“Dari kecil, kami belajar resipi laksa daripada keluarga. Ini resipi asli turun-temurun daripada nenek moyang dan masih dikekalkan sehingga sekarang," katanya.

Menurut Abdullah, kini anak-anak buahnya aktif melibatkan diri dalam perniagaan keluarga dan mempelajari resipi turun-temurun keluarga.

"Biar warisan keluarga ini terus berpanjangan, terpelihara, jangan terputus begitu sahaja, Biar ada penyambung warisan setiap generasi," katanya.

 

Disunting oleh Rafeáton Md. Ali dan Melati Mohd Ariff

BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan