AM

Rangkaian kebab terbesar dunia kini di Ipoh

18/01/2020 03:13 PM

IPOH, 18 Jan -- Warga Perak khususnya di bandaraya ini kini berpeluang menikmati Kebab Turki Baba Rafi yang cukup terkenal di Indonesia dengan lebih 1,300 outlet di sembilan negara termasuk Malaysia.

Menariknya, rangkaian francais kebab terbesar di dunia, Baba Rafi Enterprise (Baba Rafi) itu menggunakan konsep kontena 'outdoor' di Jalan Kamaruddin Isa, Fairpark di sini, iaitu yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Pengurus Container Kebab, Damian Foo berkata perniagaan makanan dan minuman (F&B) dalam kontena itu mula beroperasi pada 18 Dis lepas dan dua lagi cawangan akan dibuka di Taman Cempaka dan Jelapang di sini pada bulan hadapan. 

Menurut Damian, pihaknya mengambil masa kira-kira dua minggu untuk mengubah suai sebuah kontena bertemakan warna hitam dan kuning supaya menjadi lebih menarik dengan anggaran kos RM150,000.

“Sambutan yang diterima daripada pelanggan amat menggalakkan terutama pada waktu malam lebih-lebih lagi lokasi ini berdekatan dengan Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Universiti Kuala Lumpur Royal College of Medicine Perak,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Walaupun berkonsepkan kontena, namun kerusi dan meja makan turut disediakan di sekitarnya untuk pelanggan menikmati kebab pilihan mereka sama ada berinti ayam, daging dan sayur yang lazat dengan harga antara RM6.90 hingga RM14. 

“Apa yang istimewa, kami mempunyai resipi inti ayam dan daging tersendiri dengan roti tortila sama ada roti kosong, susu, mil penuh atau arang.

“Pelanggan juga boleh menambah telur dan kentang goreng pada kebab dengan pilihan sos seperti lada hitam, mayones, keju dan BBQ yang mereka mahukan mengikut citarasa sendiri sebelum kebab itu disediakan,” katanya.

Damian berkata, kiosk itu beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 10 malam pada hari Isnin hingga Khamis dan sehingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.

Setakat ini empat pekerja ditempatkan pada setiap syif dan pihaknya bercadang untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan pada masa akan datang bagi memudahkan pelanggan mendapatkan kebab itu.

Kebanyakan kiosk Kebab Turki Baba Rafi yang beroperasi di negara ini misalnya di Wangsa Walk di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dibuka dalam pasar raya dan rangkaian itu turut menembusi pasaran beberapa negara antaranya Brunei, Filipina, China dan Belanda. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan