KUALA LUMPUR, 17 Feb -- The Nautilus Resort, sebuah pusat peranginan antarabangsa di bawah Curio Collection by Hilton menjadi hartanah pertama di bawah jenama itu bertapak di Malaysia menerusi cawangan di Langkawi yang bakal dilancarkan pada 2023.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Global Curio Collection by Hilton, Jenna Hackett, berkata pusat peranginan yang dilengkapi dengan kemudahan 250 bilik itu terletak di tengah-tengah kawasan Pantai Cenang.
"Hilton telah menandatangani perjanjian pengurusan selama 15 tahun dengan Inspirasi Langkawi Sdn. Bhd (Inspirasi Langkawi) bagi membina pusat peranginan ini di bawah jenama Curio Collection by Hilton," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kanan Pembangunan Asia & Australasia Hilton, Guy Philips berkata, pihaknya yakin The Nautilus Resort akan menjadi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Langkawi yang merupakan destinasi berstatus Global Geopark UNESCO pertama di Asia Tenggara.
Beliau berkata, para pengunjung resort itu boleh menikmati pemandangan menarik secara terus ke Selat Melaka tanpa halangan berikutan lokasinya selain akses ke pantai bersih dan air yang jernih.
Selain itu katanya, The Nautilus Resort akan turut menampilkan tiga kemudahan premis sajian makanan dan minuman termasuk restoran yang dibuka sepanjang hari, restoran dengan sajian khusus serta sebuah bar di atas bumbung.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial