AM

Pengurangan tol suntik kelegaan buat ibu miliki anak Sindrom Wolf-Hirschorn

19/02/2020 12:12 PM

Oleh Nurrul Huda Ahmad Lutfi

ALOR SETAR, 19 Feb -- Menempuh perjalanan sejauh 127 kilometer (km) dari Jitra, Kedah ke Bayan Lepas, Pulau Pinang pada setiap bulan, menjadi rutin buat seorang guru bersama anak perempuannya yang menghidap Sindrom Wolf-Hirschorn, demi menjalani terapi.

Bukan sekadar pengorbanan tenaga, Noor Asmin Mohd Khassim, 42, turut berhadapan kos perjalanan sebanyak RM33 sebulan, termasuk untuk membayar tol di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jambatan Pulau Pinang.

Namun, berita pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di Lebuhraya PLUS bermula 1 Feb, menyuntik kelegaan buat wanita itu, kerana ia membantu mengurangkan perbelanjaannya kepada RM25.74 berbanding RM33 sebelum ini.

“Anak saya berusia 11 tahun mengalami masalah antaranya perkembangan fizikal disebabkan Sindrom Wolf-Hirschorn, yang memerlukan dia menjalani terapi dengan kerap di pusat terapi di Bayan Lepas. Selepas pengurangan tol, jumlah yang perlu dibelanjakan berkurangan kepada RM25.74, yang membolehkan saya berjimat sebanyak RM7.26 setiap bulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Walaupun jumlah penjimatan itu dilihat kecil, Noor Asmin berkata beliau bersyukur dan menyifatkan ia sangat membantu, kerana beliau juga tinggal berjauhan dengan suaminya yang bekerja di Putrajaya dan memaksa kedua-dua mereka menggunakan lebuh raya bertol dengan kerap, untuk berjumpa.

“Kadangkala saya terpaksa ke Putrajaya untuk melawat suami, manakala suami saya pula memang sering pulang ke Kedah setiap minggu, dan untuk perjalanan ini kami mengeluarkan belanja yang besar untuk tol,” katanya.

Noor Asmin berkata bagi perjalanan sejauh 477km dari Jitra ke Putrajaya, dia atau suaminya akan membelanjakan sebanyak RM122.40 untuk tol setiap minggu, dan kini hanya mengeluarkan RM100.36 untuk perjalanan pergi balik bagi perjalanan yang sama dengan penjimatan RM22.04 seminggu atau RM88.16 sebulan.

Secara keseluruhan beliau berkata, mereka menjimatkan RM95.42 sebulan, hasil pengurangan kadar tol itu yang boleh digunakan untuk keperluan lain, termasuk persekolahan anaknya.

Sementara itu, peniaga aksesori kenderaan Mohd Azle Amir Fazin, 30, yang melalui tujuh kali perjalanan ulang-alik dari Alor Setar ke Kuala Lumpur berkata, pengurangan kadar tol itu dijangka membolehkan beliau memperoleh penjimatan sehingga RM140 sebulan.

“Hasil penjimatan itu akan dimasukkan ke dalam tabung perniagaan saya...saya lihat ini salah satu perkara baik daripada kerajaan, untuk pengguna yang banyak guna tol untuk balik ke kampung atau bekerja,” katanya.

Pekerja swasta, Roshila Murni Rosli, 29, pula berkata dia dapat menjimatkan kira-kira RM20 sebulan dan turut memuji langkah kerajaan atas inisiatif mengurangkan bebanan rakyat.

G. Munian, 69, seorang tukang gunting rambut di sini, yang kerap ke Pulau Pinang dengan purata tiga kali sebulan berkata dia mendapat penjimatan kos tol sebanyak RM21.78 sebulan, selepas pengurangan berkenaan.

Katanya, sebelum ini dia mengeluarkan perbelanjaan tol sebanyak RM33 untuk perjalanan pergi dan balik, namun setelah tol berkurangan, dia hanya mengeluarkan perbelanjaan tol RM25.74.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5 bagi Lebuhraya PLUS termasuk Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE) serta kenderaan kelas 2, 3, 4 dan 5 bagi Jambatan Pulau Pinang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan