AM

UiTM galak hampir 800,000 alumni kembali tabur bakti

21/02/2020 01:02 PM

SHAH ALAM, 21 Feb -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggalakkan kira-kira 800,000 alumninya ‘kembali’ dan menyumbang kepada institusi itu dalam usaha melahirkan siswazah lebih berkualiti serta kompetitif pada masa depan.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata kekuatan sesebuah universiti juga datang daripada alumni yang kebanyakannya telah mencapai kejayaan memberangsangkan dalam bidang masing-masing.

“Misalnya, alumni dengan pelbagai latar belakang dan kejayaan dalam bidang masing-masing boleh kembali untuk memberi kuliah dan pendedahan mengenai industri kepada pelajar serta berkongsi pengalaman supaya graduan mendapat gambaran lebih luas mengenai pasaran kerja.

Bagi alumni yang mempunyai pelbagai pengalaman dalam bidang keusahawanan pula, UiTM amat mengalu-alukan mereka membantu universiti menerusi perkongsian tip untuk kita melahirkan graduan berciri keusahawanan yang berjaya pada masa depan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis pelancaran Rumah Alumni UiTM di sini, semalam.

Katanya, usaha menggabungkan 37 persatuan alumni di bawah satu naungan iaitu Gabungan Alumni UiTM juga merupakan inisiatif institusi itu supaya mereka dapat berganding bahu dan berbincang untuk memartabatkan lagi universiti supaya terus maju serta bergerak seiring dengan peredaran zaman.

Mengulas mengenai Rumah Alumni, Mohd Azraai menyifatkan kewujudannya adalah sebagai ‘jambatan’ menghubungkan antara alumni dengan universiti kerana ia menawarkan pelbagai kemudahan untuk berhimpun dan mengadakan perbincangan.

“Sebelum ini, persatuan alumni tiada tempat khusus untuk mereka berbincang bagi membantu universiti, disebabkan itu kita wujudkan rumah alumni tersebut supaya mereka berasa masih dekat dengan UiTM dan mudah untuk bekerjasama menerusi pelbagai aktiviti,” katanya.

Rumah Alumni UiTM yang diselia oleh pejabat Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni itu beroperasi di Intekma Residence Shah Alam dan menyediakan kemudahan seperti bilik mesyuarat, telefon serta wifi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan