PUTRAJAYA, 26 Feb -- Pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah, boleh menarik nafas lega, apabila sudah memperoleh sekurang-kurangnya 60 peratus penajaan, bagi mengharungi Kejohanan Motosikal Dunia musim ini.
Hafizh yang akan memulakan saingan MotoGP Dunia 2020 yang bermula 6 hingga 8 Mac ini di Litar Antarabangsa Losail, Qatar, menerima suntikan penajaan baharu selepas menandatangani perjanjian penajaan bersama syarikat korporat, UMW Grantt International Sdn Bhd, bagi musim ini.
UMW Grantt International Sdn Bhd itu bagaimanapun tidak mendedahkan nilai sebenar jumlah penajaan, yang disalurkan kepada Hafizh Syahrin.
"Saya akan buat yang terbaik untuk musim ini dan dengan kehadiran penaja, ia sedikit sebanyak beri suntikan semangat kepada saya, untuk pamerkan aksi lebih baik demi negara.
"Saya tidak boleh janjikan kemenangan di setiap perlumbaan, tapi sudah pasti akan buat yang terbaik dan beri saingan yang lebih sengit kepada pelumba lain, dalam setiap perlumbaan nanti," katanya kepada media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dengan UMW Grantt International Sdn Bhd, yang diwakili Pengurus Besar Kanan Kumpulan Autoparts UMW Anas Nasrun Mohd Osman.
Hafizh Syahrin yang masih mencari keserasian dengan jentera baharunya, terpaksa kembali ke Moto2 bersama pasukan Angel Nieto pada musim 2020, selepas dua musim beraksi di Kelas Perdana, MotoGP.
Pasukan Angel Nieto dilaporkan hanya bersetuju membantu Hafizh Syahrin untuk mendapatkan tempat dalam perlumbaan Moto2 sahaja, dan pelumba itu perlu mendapatkan penaja utama bagi menampung beberapa keperluan lain termasuk gaji, tiket penerbangan, hotel dan kos latihan pengangkutan.
"Saya terpaksa mengubah cara kerja dengan jentera kerana ia sedikit berbeza. Jika dari kategori bawah (Moto3) ke Moto2, adalah lebih mudah untuk penambahaikan. Namun itu bukan masalah besar, kerana saya yakin dengan diri saya untuk buat yang terbaik.
"Saya percaya dengan sokongan daripada Grantt, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), saya akan cuba baiki diri saya di perlumbaan ujian dan perlumbaan sebenar di Qatar," katanya.
Sementara itu, Presiden Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Datuk Abdul Rashid Musa berharap, dengan kolaborasi bersama Hafizh Syahrin, jenama minyak Grantt akan lebih dikenali di persada dunia.
"Grantt ini produk baharu, mula tahun 2015. Rasional pemberian bantuan kepada Hafizh Syahrin adalah kerana beliau merupakan ikon permotoran negara. Beliau juga memberikan inspirasi kepada belia untuk menceburi bidang permotoran," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial