POLITIK

Mohamad Alamin angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat

27/02/2020 12:31 PM

KUALA LUMPUR, 27 Feb -- Ahli Parlimen Kimanis yang baharu Datuk Mohamad Alamin mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat hari ini.

Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad, 47, daripada Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis selepas menewaskan calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Karim Bujang, 18 Jan lepas.

PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada Mohamad atas kemenangan pada PRK itu.

"Semoga dapat memberi sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan ini serta seterusnya Ahli Yang Berhormat dapat berkhidmat dengan cemerlang. Tahniah diucapkan sekali lagi," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ariff berkata persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini bergantung kepada perkembangan situasi politik semasa.

"Bagaimanapun, persiapan bagi persidangan Dewan Rakyat seperti biasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan