ALOR SETAR, 5 Mac -- Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berikrar akan mempertahankan Kedah yang kini menjadi negeri terakhir ditadbir menteri besar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), susulan perkembangan politik tanah air.
Selepas kerajaan PH tumbang di Johor yang menyaksikan jawatan menteri besar di negeri itu digantikan dengan pemimpin parti lain dan Perak yang turut dijangka mengalami perubahan kepimpinan, kini Kedah menjadi harapan terakhir untuk kekal diterajui Bersatu.
Menurut Mukhriz, walaupun di peringkat nasional Bersatu diumumkan keluar daripada PH dan menjadi sebahagian daripada gabungan yang membentuk Perikatan Nasional, keadaan di negeri ini berbeza kerana Bersatu memilih untuk kekal dengan PH membentuk kerajaan negeri.
"Johor negeri kita, kalah dah, Perak kemungkinan besar pun Bersatu hilang. Yang tinggal sekarang untuk Bersatu adalah Kedah Darul Aman… yang ini pun umpama telur di hujung tanduk.
"Jadi dalam perkembangan politik semasa ini, demi kepentingan parti kita dan semua perjuangan parti kita, kita mesti mempertahankan mati-matian, kita tak akan serahkan kerajaan negeri ini kepada PAS," katanya semasa berucap pada Program Penerangan Bersatu Kedah di sini, Rabu malam.
Turut hadir pada majlis itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.
Untuk rekod, PAS menguasai 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, manakala PKR memiliki tujuh kerusi, Bersatu (6), Amanah (4), DAP (2) dan UMNO (2).
Dalam pada itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu menyangkal dakwaan yang mengatakan kononnya kerajaan negeri ini dikuasai oleh DAP kerana parti itu hanya memiliki dua kerusi Dewan Undangan Negeri dengan seorang daripadanya dilantik sebagai exco.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus mengutamakan kepentingan berkaitan orang Melayu dan Islam serta dalam masa yang sama memelihara hak masyarakat dan agama lain di negeri ini.
Dalam ucapannya di hadapan ratusan pimpinan peringkat negeri dan ahli Bersatu itu juga, Mukhriz turut menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad masih lagi pengerusi Bersatu selepas peletakan jawatannya sebelum ini ditolak sebulat suara oleh Majlis Pimpinan Pusat parti itu.
-- BERNAMA
Mukhriz Mahathir, Bersatu, politik, kerajaan negeri Kedah, exco, Dr Mahathir Mohamad
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial