Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 6 Mac -- Pahang akan menerima pelaburan bernilai RM1.2 bilion susulan pemeteraian dua perjanjian dan dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan empat syarikat Thailand di sini, hari ini.
Pelaburan itu termasuk pembangunan Taman Penyelidikan Benih Tropika Global bernilai RM400 juta di Gambang, Kuantan serta Taman Eko Pembuatan Sumber Hijau bernilai RM320 juta di Bentong.
Green World Genetics Sdn Bhd dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK) akan membangunkan Taman Penyelidikan Benih Tropika Global seluas 518 hektar di Kampung Sungai Pohoi, Gambang.
AE Carbon Capital (Bentong) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) pula akan mewujudkan taman eko perindustrian seluas 20.2 hektar yang menempatkan Pembuatan Sumber Hijau Bersepadu Generasi Kelima sepenuhnya bagi pelbagai produk teknologi hijau untuk pasaran tempatan dan eksport.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ishak Muhammad menyaksikan majlis Pemeteraian Pelaburan Pahang-Thailand 2020 itu.
Hadir sama ialah Duta Malaysia di Thailand, Datuk Jojie Samuel dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Dr Sallehuddin Ishak.
Selain itu, dua MoU bernilai RM433 juta turut ditandatangani iaitu cadangan Golden Sea Farm (Thai) Co Ltd dan PSK untuk membangunkan taman akuakultur bernilai RM113 juta, merangkumi kawasan ternakan udang, hab inovasi, pusat penyelidikan dan pembangunan, serta pusat pendidikan untuk tujuan latihan di Rompin, Pahang.
Satu lagi adalah berkaitan cadangan AE Carbon Capital (Bentong) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) untuk mewujudkan taman eko perindustrian tersebut.
Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan pemeteraian itu sebagai satu pencapaian besar dalam misi pelaburan Pahang ke Thailand.
“Perjanjian dan MoU yang ditandatangani hari ini dijangka menyediakan kira-kira 1,000 pekerjaan untuk penduduk tempatan terutama lepasan pusat pengajian tinggi.
“Saya berharap perjanjian dan MoU itu akan memberi impak positif kepada sosioekonomi negeri, memelihara alam sekitar dan menjana pertumbuhan ekonomi Pahang,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau turut optimis dengan penandatanganan dua lagi perjanjian tidak lama lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang amat serius dalam menyediakan infrastruktur dan utiliti yang baik seperti yang diperlukan para pelabur.
Beliau memberi jaminan kepada pelabur bahawa kerajaan negeri akan menyediakan penyelesaian terbaik kepada mereka berdasarkan kes demi kes supaya dapat memastikan sebarang cadangan usaha teroka akan berhasil dan terus mencatatkan kemajuan selepas perjanjian ditandatangani.
“Kita bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu air, terutama bagi kawasan berkeutamaan tinggi seperti Kawasan Perindustrian Gebeng. Ini sejajar dengan peningkatan permintaan berterusan terhadap bekalan air oleh pelabur.
“Kita mencari penyelesaian tenaga hijau dan pengurusan sisa hijau untuk kelestarian bumi kita. Ini termasuk kitar semula air buangan industri dan meningkatkan bekalan tenaga menerusi penyelesaian hijau,” katanya.
Wan Rosdy berkata Kawasan Perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Maritim Tanjung Agas di Pekan, yang sudah bersedia untuk menerima kemasukan perniagaan, menjadi antara lokasi strategik dan ideal untuk pelaburan di Pahang.
“Kita juga sedang mengkaji kemungkinan lokasi di Kuantan untuk mewujudkan Taman Aeroangkasa Pahang dan ini akan agak serupa dengan Taman Automotif yang kita sedia ada di Pekan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial