KUALA LUMPUR, 18 Mac -- Syarikat-syarikat insurans dan pengendali Takaful akan terus beroperasi untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari, mulai hari ini hingga 31 Mac.
Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata langkah proaktif akan diambil untuk memastikan perkhidmatan penting yang diberikan kepada pelanggan akan diteruskan dalam tempoh dua minggu tersebut.
"Syarikat insurans dan pengendali Takaful kekal komited untuk memastikan bahawa semua aspek perlindungan insurans bagi pemegang polisi tidak terjejas dalam tempoh ini," kata LIAM, PIAM dan MTA dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini.
Untuk mengurangkan interaksi manusia bagi membendung pandemik COVID-19, tiga persatuan itu menggalakkan orang ramai menggunakan platform digital untuk berkomunikasi dengan semua penanggung insurans dan pengendali Takaful.
Pembayaran boleh dilakukan melalui e-payment (pembayaran elektronik), saluran pengedaran langsung dan platform dalam talian lain, kata mereka.
"Sebagai alternatif, hubungi ejen atau broker anda yang akan dapat membantu anda melalui platform komunikasi digital masing-masing dengan syarikat insurans dan pengendali Takaful," kata mereka.
Sementara itu, talian hotline pusat panggilan untuk kemalangan 15-500 akan terus beroperasi dalam tempoh itu untuk menyediakan bantuan kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial