KUALA LUMPUR, 26 Mac -- MIDF Research kekal positif mengenai prospek terhadap Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) berikutan syarikat itu terus menunjukkan kemajuan ke atas pelan pengoptimuman kosnya selain terus mencatatkan keuntungan melalui pelbagai platformnya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Astro dengan harga sasaran yang disemak semula pada RM1.04 daripada RM1.84 sebelum ini, katanya dalam nota hari ini.
"Kami yakin momentum pendapatan kumpulan itu sebahagian besarnya akan didorong oleh struktur kos yang lebih baik pada masa depan.
"Sementara itu, purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) TV berbayar itu juga berjaya kekal pada sekitar RM100 terutamanya melalui penggunaan yang lebih tinggi daripada platform On Demand VOD, OTT (iaitu Astro Go) dan NJOI," katanya.
Selain itu, MIDF Research berpendapat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka akan membantu memacu penggunaan kandungan dan pembelian dalam talian daripada platform Astro.
"Pendaftaran yang dijangka menggalakkan daripada pelanggan bukan Astro untuk Astro Go semasa tempoh PKP yang mungkin menjadi pelanggan berbayar boleh memberi prospek yang baik kepada kesejahteraan kumpulan itu.
"Kami turut menjangka terdapat permintaan yang meningkat terhadap set-top-box (STB) dan Ultra Box Astro pada suku kedua selepas PKP berdasarkan tempahan yang baik sejak pelancarannya," katanya.
Dari segi penilaian, saham dilihat menarik berikutan ia kini diniagakan pada 1.5 kali SD-diskaun kepada nisbah purata harga kepada pendapatan dua tahun sebanyak 11.7 kali.
"Kami menjangka ini akan meningkatkan peluang pengewangan untuk segmen tv berbayar Astro.
"Dengan hasil dividen yang menarik sebanyak 10.8 peratus, kami mengekalkan saranan ‘beli’ kami ke atas Astro," katanya
Sehingga 10 pagi, Astro meningkat tiga sen atau 3.61 peratus kepada 86 sen dengan 417,000 saham bertukar tangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial