KUALA LUMPUR, 1 April -- Tanggalkan palam peralatan elektrik jika tidak digunakan serta jangan biarkan peralatan elektrik seperti kipas terpasang di dalam bilik yang kosong.
Peringatan itu adalah antara enam panduan penggunaan elektrik berhemah oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB).
Dalam satu kenyataan hari ini, TNB memaklumkan panduan itu dikongsikan kepada pengguna bagi mengimbangi keperluan menggunakan peralatan elektrik dengan selesa tanpa sebarang pembaziran sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan COVID-19.
Lima lagi panduan penggunaan elektrik berhemah adalah:
TNB berkata dalam tempoh PKP ini, penggunaan elektrik di kediaman bakal meningkat kerana isi rumah menggunakan elektrik yang lebih kerap atau lebih lama daripada kebiasaan.
"Peningkatan sebenar penggunaan elektrik ini hanya akan diketahui selepas berakhirnya pelaksanaan PKP kerana TNB menangguh sementara pembacaan meter dan menggantikannya dengan bil anggaran bagi mematuhi arahan PKP," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, bagi mengurangkan beban tanggungan rakyat, kerajaan dalam pakej rangsangan ekonominya menyebut diskaun berperingkat untuk pengguna domestik selama enam bulan bermula pada hari ini.
TNB berkata diskaun sehingga 50 peratus diberikan kepada pengguna domestik atau kediaman dengan penggunaan elektrik hingga 200 kWj (kilowatt jam) sebulan manakala 25 peratus bagi penggunaan elektrik antara 201 hingga 300 kWj dan 15 peratus bagi penggunaan elektrik antara 301 hingga 600 kWj.
Penggunaan elektrik melebihi 600 kWj pula, pengguna mendapat diskaun sebanyak dua peratus.
Untuk maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak, pengguna boleh terus melayari laman sesawang https://www.mytnb.com.my manakala bagi urusan transaksi dalam talian menerusi portal dan aplikasi myTNB.
Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna diminta menghubungi TNB CareLine di 15454 dan Facebook TNB CareLine.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial